AM

Finas Cadangkan Kerjasama Penerbitan Filem Serantau Pada Sidang Kemuncak ASEAN 2025

04/09/2024 08:33 PM

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) akan mencadangkan agenda melibatkan industri kreatif untuk membentuk kerjasama penerbitan filem serantau dengan negara-negara Asia Tenggara.

Pengerusi Finas Datuk Kamil Othman berkata ia akan dilakukan pada Sidang Kemuncak ASEAN 2025 apabila Malaysia menjadi tuan rumah, sejajar dengan usaha melonjakkan filem Malaysia ke pentas antarabangsa.

“Tahun depan, apabila Malaysia menjadi pengerusi sidang kemuncak ASEAN, kami akan mencadangkan agenda untuk industri kreatif iaitu memperoleh komisen filem yang setara seperti rakan Finas dari negara Asia Tenggara, dengan mengadakan mesyuarat semasa sidang kemuncak itu.

“Idea kami adalah untuk melakukan sesuatu yang sama dengan konsep Kesatuan Eropah (EU). Sebagai contoh, filem Eropah hari ini dilihat jarang sekali dibuat secara tunggal oleh sesebuah negara... ia sentiasa diterbitkan bersama antara negara EU seperti Jerman, Perancis dan Itali,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sebagai tetamu dalam program Bernama TV The Nation bertajuk Membawa Industri Filem Malaysia ke Peringkat Global, hari ini.

Kamil berkata kerjasama yang dicadangkan itu, bukan sahaja dapat memanfaatkan kepakaran penerbit filem dari negara berbeza, tetapi juga meningkatkan bahagian pemasaran filem.

“Kami yakin, jika kami membuka kerjasama serantau itu dalam aspek penerbitan, pembiayaan dan pemasaran, aspirasi negara kita untuk membawa filem terbitan tempatan melangkaui sempadan Malaysia boleh menjadi kenyataan,” katanya.

Sementara itu, beliau menasihatkan penerbit filem tempatan supaya belajar daripada filem antarabangsa yang memenangi anugerah dan membandingkan jalan cerita dengan filem arahan mereka sendiri.

Beliau juga mengesyorkan penggunaan teknologi moden untuk menjadikan filem mereka setanding dan melepasi halangan bahasa, selain memfokuskan jalan cerita yang lebih inklusif kepada penonton antarabangsa.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan