FOKUS BERNAMA

Pembunuhan Kejam Tanda Ketandusan Nilai Kemanusiaan - Pakar

05/09/2024 10:30 AM
Daripada Nurqalby Mohd Reda

Akhir-akhir ini negara kerap dikejutkan dengan kes bunuh yang terlalu kejam, jauh melangkaui batas kemanusiaan hingga mengundang polemik di pentas media sosial lantaran keadaan kematian mangsa begitu tragik.

Ke manakah perginya manusiawi si pelaku hingga tergamak memenggal dan mengerat anggota tubuh mangsa yang kemudian dibuang di tepi jalan, seolah-olah jasad itu ketika hayatnya bukan seorang manusia? 

Ironinya, menurut polis, kebanyakan kes pembunuhan sedemikian membabitkan mereka yang saling mengenali.

 Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dalam laporan media baru-baru ini, berkata kebanyakan kes bunuh yang berlaku melibatkan mereka yang mempunyai hubungan kekeluargaan atau persahabatan.

Menurut beliau, berdasarkan siasatan polis, antara motif utama pembunuhan ialah hubungan berubah menjadi tidak baik, dendam, akibat masalah perniagaan yang dijalankan secara bersama oleh mangsa dan suspek serta penggunaan bahan terlarang seperti dadah. 

Pakar psikologi tidak menolak kekejaman melampau itu juga menunjukkan ketandusan nilai kemanusiaan pada si pelaku yang didorong oleh pelbagai faktor.

 

BERTINDAK LUAR BATAS

Mengulas punca seseorang tergamak membunuh hingga sedemikian rupa, pakar psikologi Dr Farhana Sabri berkata ketidakseimbangan fungsi eksekutif otak adalah antara pencetus tindakan luar kawal manusia termasuk membunuh.   

“Fungsi eksekutif ini (bahagian depan otak) diibaratkan sebagai ‘ketua otak’. Ada tiga kemahiran fungsi eksekutif dalam otak, iaitu memori kerja (bagaimana individu menyimpan dan menggunakan maklumat), fleksibiliti kognitif (kemampuan berfikir) dan kawalan kendiri (keupayaan mengawal tindakan impulsif).

pic-2

“Manusia memerlukan ketiga-tiga kemahiran ini untuk mengawal rangsangan, dan jika satu kemahiran tidak seimbang maka boleh tercetus tindakan (akibat) emosi di luar kawalan,” jelas pensyarah kanan di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ini kepada Bernama.

Ringkasnya kata beliau, fungsi eksekutif bertanggungjawab membantu individu berfikir cara menyelesaikan masalah serta tindakan yang perlu atau tidak perlu untuk individu itu lakukan, bersesuaian dengan masalah yang dihadapi.

Menurut beliau, fungsi eksekutif boleh terjejas atau rosak akibat penggunaan bahan terlarang seperti dadah atau penyakit kritikal tertentu.

Selain itu, kewujudan perasaan seperti  “tiada jalan keluar” dan “rasa tersepit”  adalah antara tanda-tanda awal seseorang mempunyai masalah regulasi emosi yang juga terkait dengan fungsi eksekutif otak, jelasnya.

“Seseorang yang gagal mengawal emosi lazimnya kerana mereka mempunyai masalah regulasi emosi, atau dalam psikologi disebut sebagai disregulasi emosi, iaitu gejala melibatkan masalah mengawal emosi dan menentukan tindakan yang sesuai untuk menguruskan emosi tersebut.

“Individu yang mempunyai masalah  ini biasanya akan bertindak secara berlebihan atau ekstrem terhadap sesuatu emosi. Tindakan terhadap emosi yang berlebihan cenderung melanggar norma masyarakat, atau lebih parah melibatkan jenayah,” katanya.

 

TIDAK RASIONAL

Sementara itu, menurut pakar psikologi kaunseling Dr Abdul Rashid Abdul Aziz, tindakan tidak rasional dan luar kawal berpunca daripada cetusan emosi negatif.

Beliau berkata individu seharusnya bijak membuat pertimbangan tanpa melibatkan emosi negatif yang mengundang kepada tingkah laku langsang atau agresif yang akhirnya membawa padah bukan sahaja pada diri indivitu itu bahkan juga kepada orang disekelilingnya.

pic-3

Tanpa pertimbangan rasional juga, manusia cenderung membuat keputusan berdasarkan emosi negatif yang boleh membawa kepada kesan yang merosakkan.

“Kebanyakan kes yang melibatkan tindakan tidak rasional berpunca daripada emosi negatif seperti rasa marah. Kemarahan ini dapat difahami sebagai cetusan perasaan yang lahir daripada sesuatu konflik dan membangkitkan sifat antagonis dalam diri seseorang.

“Selain itu, perasaan marah juga boleh mendorong tingkah laku agresif dan menyebabkan seseorang bertindak di luar kawalan apabila kemarahan tersebut mencapai aras klimaks sehingga boleh menyebabkan insiden kematian,” jelas pensyarah USIM ini.

Mengulas lanjut, Abdul Rashid berkata selain itu, rasa dendam yang mungkin telah disimpan begitu lama kemungkinan mendesak individu atau si pelaku mengambil jalan singkat melepaskan rasa ketidakpuasan hati dan kebencian  yang akhirnya mendorong kepada berlakunya kes-kes jenayah.

Jelasnya rasa dendam itu juga wujud apabila ada ‘isu’ yang tidak dapat diselesaikan antara si pelaku dan mangsa.

“Dendam dan amarah yang tersimpan ini ibarat gunung berapi yang sedang menunggu masa untuk meletus, iaitu terjadi disebabkan ‘pendaman’ yang begitu lama.

“Sekiranya ‘unfinished issue', konflik diri dan masalah hati ini tidak diselesaikan, secara tidak langsung akan mendorong lebih banyak sifat tercela menguasai diri,” katanya.

Sehubungan itu kata beliau, amat penting untuk individu berkenaan menguasai kemahiran yang dapat menyingkirkan emosi negatif agar mampu membuat pertimbangan secara rasional.

Tanpa pertimbangan rasional, manusia cenderung membuat keputusan berdasarkan emosi negatif yang boleh membawa kepada kesan merosakkan, tegasnya.

 

HILANG NILAI MANUSIAWI

Abdul Rashid tidak menolak kes pembunuhan ngeri menandakan ketandusan nilai kemanusiaan dan perlu ditangani segera. 

pic-4

Katanya, dalam konteks Islam, pembunuhan dan jenayah adalah bertentangan dengan ajaran agama.

Malah, kata beliau, satu daripada prinsip maqasid syariah ialah menjaga nyawa dan maruah manusia.

Justeru, kerosakan jiwa dan naluri kemanusiaan berdasarkan kes jenayah belakangan ini memerlukan perhatian serius kerana isu itu bukan masalah individu sebaliknya masyarakat secara keseluruhan, tegas beliau.

Beliau berkata usaha untuk memperkukuh kembali nilai kemanusiaan perlu dilaksanakan melalui pendidikan, penghayatan agama, sokongan psikologi serta pembinaan semula jaringan sosial yang sihat, bagi memastikan kelahiran generasi yang sejahtera dan berperikemanusiaan.

Kerosakan jiwa dan naluri manusiawi berdasarkan kepada kes jenayah kebelakangan ini memerlukan perhatian yang serius kerana ia bukan merupakan masalah individu bahkan masyarakat secara keseluruhannya yang perlu ditangani secara kolektif.

 “Selain itu, rasa kasih mengasihani perlu disemai dalam jiwa setiap ahli masyarakat yang akan membendung individu daripada melakukan perkara mungkar, dan secara tidak langsung dapat menjaga keharmonian dalam sesebuah hubungan.

“… sepertimana yang ditegaskan Nabi Muhammad SAW bahawa tidak beriman seorang antara kamu sehingga ia mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri,” tambah beliau.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan