BERITA TERGEMPAR   Paris route represents Malaysia Airlines’ 68th destination and will be served by A350-900 aircraft - Capt Izham | 
 AM

Berdepan Cabaran Keselamatan, ESSCOM Pastikan Negara Kekal Aman, Selamat

06/09/2024 10:39 AM

Oleh Khatijah Jistoh

LAHAD DATU, 6 Sept (Bernama) -- Pengalaman negara berhadapan detik hitam pencerobohan pengganas bersenjata Sulu dari selatan Filipina di Kampung Tanduo di Felda Sahabat di sini lebih 11 tahun lepas, mengajar semua pihak betapa pentingnya mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara.

Sambutan Hari Malaysia pada 16 Sept ini dengan tema "Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka" seharusnya dijadikan hari untuk semua rakyat memperbaharu iltizam semangat cintakan negara.

Bagi memastikan Malaysia kekal aman dan selamat, Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) yang menggalas tugas besar itu di Sabah tidak alpa, malah terus komited berusaha memastikan kedaulatan tanah air kekal utuh meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran keselamatan.

Bercakap kepada Bernama baru-baru ini, Komander ESSCOM Datuk Victor Sanjos berkata sejak penubuhan pada 2013, ESSCOM telah mengkoordinasi operasi secara bersepadu melalui Op Sanggah dan Op Gasak.

Operasi itu bertujuan mengesan serta mengekang anasir luar, tali barut, elemen jenayah rentas sempadan serta kemasukan pendatang tanpa izin ke pantai timur Sabah.

"Sempadan yang terdapat di pantai timur Sabah termasuk di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESS Zone) itu begitu panjang terutama sempadan laut dan keutamaan kita (ESSCOM) adalah untuk memastikan sempadan laut mahupun darat tidak dicerobohi.

"Sudah tentu bagi mendepani cabaran ini, banyak perkara yang kita kena ambil dan pertimbangkan.  Jenayah rentas sempadan ini sentiasa berlaku, (dan) kita akan kekalkan momentum untuk membuat pengoperasian koordinasi tentera, polis, maritim bersama agensi penguat kuasa lain," katanya.

Beliau berkata selain itu, bagi memastikan kedaulatan dan keamanan negara terpelihara, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia yang berada dalam ESSCOM, turut melaksanakan operasi masing-masing antaranya Op Pasir, Op Taring, Op Gelora, Op Pluto Timur dan Op Sejahtera.

Victor berkata pelbagai kejayaan ditempa ESSCOM termasuk menggagalkan penyeludupan menerusi operasi di pantai timur Sabah, selain kerjasama yang dijalin bersama pasukan keselamatan negara jiran Filipina dan Indonesia turut membuahkan hasil dalam mengekang elemen kemasukan anasir asing.

"Berdasarkan kajian sasaran keganasan yang dijalankan pihak cawangan khas Bukit Aman, sebanyak 13 individu asing dikehendaki pihak berkuasa kerana mempunyai kaitan dengan aktiviti militan serta jenayah rentas sempadan. Pada tahun lepas sebanyak lima suspek warga asing yang disyaki mempunyai kaitan dengan aktiviti militan ditahan dalam beberapa operasi berasingan di Sabah.

"ESSCOM juga menumpaskan sel Kumpulan Abu Sayyaf (ASG) serta kumpulan penculikan untuk wang tebusan (KFRG) di kawasan daratan dan perairan Sabah menerusi beberapa siri operasi khas secara bersepadu dilaksanakan pasukan keselamatan serta perkongsian maklumat perisikan dengan pihak berkuasa negara jiran," katanya.

Sejak 2015, Victor berkata sebanyak 20 anggota ASG ditembak mati dan 17 anggota termasuk KFRG ditangkap, selain berjaya menggagalkan sebanyak 12 cubaan penculikan, rampasan dan rompakan yang berlaku antara 2014 hingga 2018 di ESS Zone.

"Di samping itu, sebanyak 21 kes penculikan melibatkan 58 mangsa terdiri daripada 16 warganegara dan 42 warganegara asing iaitu Indonesia, Filipina, China dan Taiwan direkodkan di ESS Zone dengan kejadian terakhir pada Januari 2020,” katanya.

Victor berkata daripada jumlah keseluruhan mangsa culik itu, sebanyak 43 tebusan dibebaskan dengan wang, lapan diselamatkan pihak berkuasa Filipina manakala enam tebusan ditemukan mati, selain seorang hilang.

“Apa pun, realitinya tiada elemen atau anasir luar termasuk penculikan berlaku lagi sejak Februari 2020 hingga kini.

"Masyarakat, pelancong mempunyai tanggungjawab untuk mempertahankan keselamatan. Apabila nampak saja perkara yang melanggar undang-undang negara, (dan) meragukan, laporkan kepada pihak berkuasa," katanya dan menambah tanggungjawab menjaga keselamatan negara terletak pada bahu semua pihak.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan