AM

Separuh Daripada Perbelanjaan Pengiklanan Tahunan Disalurkan Terus Ke Media Sosial - Fahmi

06/09/2024 02:46 PM

KUALA LUMPUR, 6 Sept (Bernama) -- Sebanyak RM2.5 bilion daripada RM4.5 bilion perbelanjaan pengiklanan (adex) tahunan disalurkan terus ke platform media sosial, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata keadaan itu memberi kesan kepada organisasi media sehingga menyebabkan pengurangan tenaga kerja.

"Kebanyakan organisasi media yang saya temui memaklumkan berdasarkan penilaian mereka, separuh daripada adex tahunan disalurkan terus ke media sosial dan bukan lagi menerusi organisasi media," katanya kepada penberita selepas menghadiri Sambutan Ulang Tahun ke-25 Asia News Network (ANN) di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai yang juga Penasihat ANN, Pengarah dan Ahli Lembaga Pengarah ANN Datin Esther Ng dan Pengerusi Lembaga Pengarah ANN Mahfuz Anam.

Fahmi turut melahirkan kebimbangan terhadap pengurangan tenaga kerja yang menyebabkan ramai wartawan berpengalaman dan telah lama berkhidmat diberhentikan akibat perubahan kewangan.

Beliau berkata kerajaan pada masa ini tidak mempunyai rancangan untuk campur tangan, sebaliknya menggalakkan organisasi media untuk mengadakan perbincangan dengan platform media sosial bagi menangani isu berkenaan.

"Ketika ini kami tidak merasakan keperluan untuk mengikuti langkah negara lain dalam mengendalikan masalah itu.

"Kami percaya adalah penting untuk mencari kaedah sendiri dan mungkin dilihat sebagai satu titik keseimbangan, titik pertemuan antara kepentingan perniagaan organisasi media dengan platform media sosial, jadi kami akan membenarkan proses perbincangan itu berlaku," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan