AM

Seruan Kaji Semula Peraturan Lapuk Penting Untuk Integriti Perkhidmatan Awam

08/09/2024 01:00 PM

KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Seruan untuk mengkaji semula peraturan serta undang-undang lapuk dilihat sebagai langkah kritikal bagi meningkatkan integriti, kejujuran dan akauntabiliti dalam perkhidmatan awam.

Ahli Institut Integriti Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye berkata kajian semula dasar, peraturan, dan prosedur operasi standard (SOP) yang lapuk dapat membantu mencegah penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan rasuah.

Beliau berkata peraturan lapuk menghalang keupayaan penjawat awam untuk bertindak balas secara berkesan terhadap cabaran tadbir urus moden, dan memerlukan kajian menyeluruh bagi menghapuskan amalan ketinggalan zaman serta peraturan baharu yang sesuai dengan perubahan pantas persekitaran kerja serta sosial. 

“Oleh itu, kajian menyeluruh membolehkan mengenal pasti amalan lapuk dan mewujudkan peluang untuk menyesuaikan peraturan baharu yang sepadan dengan persekitaran kerja dan sosial yang pantas berubah,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar Shamsul Azri berkata semua ketua setiausaha kementerian, setiausaha kerajaan negeri dan ketua jabatan mengkaji semula dasar, peraturan dan SOP yang lapuk di peringkat kementerian, kerajaan negeri dan jabatan masing-masing.

Lee juga mencadangkan supaya melibatkan pihak berkepentingan lain termasuk pertubuhan masyarakat sivil dan orang awam dalam proses kajian semula mungkin melalui mewujudkan platform media sosial yang khusus.

"Ini akhirnya boleh mewujudkan persekitaran lebih komprehensif untuk manfaat semua," katanya.

Mengulas isu Ombudsman, Lee merujuk kepada rancangan sebelum ini untuk menubuhkan Ombudsman Malaysia bagi menggantikan dan menambah baik Biro Pengaduan Awam.

"Ombudsman dijangka menjadi badan bebas yang ditugaskan untuk menyelesaikan aduan terhadap jabatan kerajaan dan proses tertentu," katanya sambil menambah entiti seperti ini penting untuk menggalakkan ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik.

Lee berkata Ombudsman akan memastikan agensi kerajaan dan pegawai bertanggungjawab atas tindakan mereka serta mematuhi amalan serta etika.

Beliau juga menyeru kerajaan meneroka penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi lain dengan lebih meluas untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan serta mengurangkan kebergantungan kepada tenaga manusia.

"AI boleh mengautomatikkan tugas pentadbiran seperti kemasukan data dan pengurusan rekod, membolehkan penjawat awam dapat memberikan tumpuan yang lebih kepada tugas sekali gus meningkatkan produktiviti," jelasnya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan