SUKAN

Hujan Tak Halang Penyokong Bersama Harimau Malaya Di Final Pestabola Merdeka

08/09/2024 08:04 PM

KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Keadaan mendung dan gerimis tidak melemahkan semangat penyokong skuad Harimau Malaya yang hadir menyaksikan perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2024 antara Malaysia dan Lubnan di Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini, 9 malam ini.

Setakat 7 malam, tinjauan Bernama mendapati pekarangan gelanggang keramat pasukan negara itu sudah meriah dengan kehadiran orang ramai yang mengenakan jersi berwarna hitam dan kuning, selain pelbagai gerai jualan makanan serta cenderahati menarik yang mencuri perhatian pengunjung.

Jumlah kehadiran penyokong yang tinggi boleh memacu kejayaan pasukan negara dengan aksi malam ini merupakan peluang skuad bimbingan Pau Marti Vicente untuk membantu Malaysia menjulang kejuaraan Pestabola Merdeka yang pertama sejak 2013.

Dijangka kehadiran penyokong mampu mencecah lebih 10,000 berdasarkan sambutan orang ramai dalam beberapa hari kebelakangan ini, selain faktor hari bercuti berbanding ketika Malaysia menewaskan Filipina 2-1 pada aksi separuh akhir di sini, Rabu lepas.

Sebelum ini, kumpulan penyokong tegar pasukan negara Ultras Malaya bertindak memboikot saingan Pestabola Merdeka 2024 dan ia dibuktikan ketika aksi menentang Filipina.

Boikot dirancang Ultras Malaya itu berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap pelbagai isu termasuk berkaitan pengurusan pasukan kebangsaan, dakwaan kepincangan dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan perlawanan Liga Malaysia.

Sebagai rekod, Ultras Malaya pernah memboikot perlawanan akhir acara bola sepak lelaki Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 antara Malaysia dan Thailand sebagai solidariti kepada penyokong yang menjadi mangsa kegagalan sistem penjualan tiket aksi final berkenaan.

Sementara itu, tiada pemakluman rasmi jumlah tiket perlawanan final yang sudah dijual sama seperti bagi aksi separuh akhir sebelum ini.

Terdahulu, Tajikistan menamatkan kempen kejohanan edisi ke-43 itu di tempat ketiga apabila menumpaskan Filipina 4-3 menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 0-0 di sini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan