DUNIA

FOCAC Besar Ertinya Buat Kerjasama China, Afrika - Presiden Zimbabwe

09/09/2024 02:07 PM

BEIJING, 9 Sept (Bernama-CMG) -- Forum Kerjasama China-Afrika (FOCAC) membawa erti besar bagi kedua-dua pihak meningkatkan komunikasi dan membuka dimensi baharu kerjasama, kata Presiden Zimbabwe Emmerson Mnangagwa.

Beliau menyatakan perubahan besar dapat dilihat di China dan negara Afrika susulan kesungguhan masing-masing dalam menggerakkan pemodenan dan pengindustrian.

"Kami datang ke China dan berpeluang mengetahui bagaimana negara ini mewujudkan pertumbuhan pesat ekonomi moden.

"Kami mendapati sesetengah kesukaran yang kami hadapi berjaya diatasi oleh China. Maka, tak payahlah kami bermula dari 'sifar' dan boleh terus menimba pengalaman China," kata Mnangagwa ketika diwawancara Kumpulan Media China (CMG) sempena sidang kemuncak FOCAC di Beijing baru-baru ini.

Sejak ikatan diplomatik dijalin pada 1980, China dan Zimbabwe sentiasa mengekalkan rasa saling percaya dalam bidang politik. Hubungan dua hala dinaik taraf kepada perkongsian strategik komprehensif pada 2018. 

Keberhasilan kerjasama pragmatik dua negara diperlihatkan menerusi pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur termasuk lebih seribu 'telaga bahagia' yang dibina di Zimbabwe atas bantuan China, pengubahsuaian dan peluasan Lapangan Terbang Robert Gabriel Mugabe dan sebagainya.

Menyentuh kerangka kerjasama 'five-star ironclad' yang dikemukakan Presiden Xi Jinping, Mnangagwa menzahirkan penghargaan atas sokongan Presiden Xi terhadap pembangunan Zimbabwe sambil menyifatkan syor berkenaan sebagai amat menggalakkan.

-- BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan