AM

Jurang Keupayaan AI Dalam Sektor Pertahanan Beri Kesan Pada Malaysia, Negara Membangun - Mohamed Khaled

10/09/2024 09:18 PM

Daripada MUHAMMAD AFIQ MOHD ASRI

SEOUL, 10 Sept (Bernama) -- Ketaksamaan dalam keupayaan kecerdasan buatan (AI) khususnya dalam sektor pertahanan boleh meletakkan Malaysia dan negara-negara membangun lain dalam kekurangan yang ketara, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata jurang itu wujud dalam pelbagai bidang berkaitan pertahanan seperti pengawasan, peperangan siber dan sistem autonomi.

"Saya percaya jurang ini akan meninggalkan negara-negara membangun seperti Malaysia dan negara-negara kurang membangun di kedudukan yang tidak menguntungkan.

"Jika tidak ditangani sewajarnya, ketaksamaan yang ketara antara negara boleh membawa kepada monopoli, eksploitasi dan amalan tidak adil," katanya pada sesi meja bulat menteri-menteri pada Sidang Kemuncak Penggunaan AI yang Bertanggungjawab dalam Domain Ketenteraan (REAIM) 2024 di sini hari ini.

Menzahirkan kebimbangannya, beliau berkata ketaksamaan itu boleh menjejaskan konsep penggunaan AI yang bertanggungjawab dan beretika dalam domain ketenteraan.

Mohamed Khaled memperakui usaha digariskan dalam pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan Negara 2012-2025 Malaysia, namun mengetengahkan cabaran berterusan berkaitan teknologi AI termasuk batasan teknologi dan kekurangan kemahiran profesional.

Mengakui potensi hebat AI dalam landskap kuasa global, beliau menekankan keperluan untuk memfokuskan kepada menangani cabaran-cabaran tersebut bagi memastikan akses yang adil kepada teknologi termaju.

REAIM 2024 yang dianjurkan oleh Kementerian Luar dan Kementerian Pertahanan Korea Selatan bersama Belanda, Singapura dan United Kingdom mengumpulkan wakil dari 90 negara termasuk Malaysia.

Sidang kemuncak itu berakhir hari ini dan Mohamed Khaled dijadualkan menghadiri Dialog Pertahanan Seoul esok, yang akan dirasmikan Perdana Menteri Korea Selatan Han Duck Soo.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan