DUNIA

FBM KLCI Dibuka Rendah Berikutan Sentimen Bercampur-campur Dalam Pasaran Global

11/09/2024 10:47 AM

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- FBM KLCI dibuka rendah pada Rabu selepas mencatatkan kenaikan 0.54 peratus semalam, mencerminkan sentimen bercampur-campur dalam pasaran saham global.

Pada pukul 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 7.63 mata kepada 1,652.72 daripada 1,660.35 ketika ditutup pada Selasa.

Indeks penanda aras itu dibuka 6.78 mata lebih rendah kepada 1,653.57.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 156 berbanding 89 manakala 242 kaunter tidak berubah, 1,979 kaunter tidak diniagakan dan enam yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 112.19 juta unit bernilai RM73.83 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup bercampur-campur kerana sentimen pelabur kekal berhati-hati menjelang Indeks Harga Pengguna (IHP) Amerika Syarikat (AS) serta Indeks Harga Pengeluar (IHPR) yang masing-masing akan dikeluarkan hari ini dan esok.

“Sentimen terhadap kemelesetan ekonomi AS telah mempengaruhi bursa tempatan. Jadi, kita mungkin melihat kesannya ke atas prestasi Bursa Malaysia namun, saya berpandangan ini hanya reaksi spontan.

“Bagi dana asing, kita mendapati mereka kembali ke pasaran tempatan,” katanya kepada Bernama.

Thong berkata indeks utama dijangka bergerak dalam julat 1,660 hingga 1,670 hari ini.

Di peringkat rantau, pasaran Asia dilihat berkongsi sentimen bercampur-campur itu.

Indeks Straits Times Singapura naik 0.41 peratus kepada 3,526.92, manakala Nikkei 225 Jepun susut 0.80 peratus kepada 35,869.17, Hang Seng Hong Kong tidak berubah pada 17,234.09, manakala Kospi Korea Selatan turun 0.17 peratus kepada 2,519.09.

Bagi saham berwajaran tinggi, Maybank menambah dua sen kepada RM10.66, Public Bank susut tiga sen kepada RM4.78, CIMB merosot enam sen kepada RM8.43, Tenaga Nasional kurang dua sen kepada RM14.64 dan IHH Healthcare menguncup tiga sen kepada RM6.83.

Antara kaunter aktif pagi ini, Globetronics menambah enam sen kepada 60 sen, Talam Transform kekal pada 2.5 sen, manakala waran Iconic Worldwide dan Jaks Resources masing-masing mendatar pada tiga sen dan 13.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 42.79 mata kepada 12,257.05, Indeks FBM Emas Syariah susut 0.63 mata kepada 12,007.58 dan Indeks FBMT 100 merosot 44.25 mata kepada 11,976.06.

Indeks FBM 70 turun 21.43 mata kepada 17,057.90, manakala Indeks FBM ACE menguncup 4.21 mata kepada 5,034.75.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 172.95 mata kepada 19,758.18, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.67 mata kepada 172.66, Indeks Tenaga kurang 6.31 mata kepada 853.30, dan Indeks Perladangan turun 8.81 mata kepada 7,220.01.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan