AM

Semangat Patriotisme Perlu Disemat Sepanjang Masa, Bukan Hanya Dalam Bulan Kebangsaan

14/09/2024 08:31 PM

KOTA KINABALU, 14 Sept (Bernama) -- Semangat patriotisme bukan hanya dirasai dan dirai dalam Bulan Kebangsaan sahaja, tetapi juga perlu disemat sepanjang masa dalam hati setiap rakyat Malaysia yang merdeka, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Dalam merealisasikan hasrat itu, beliau berkata rakyat Malaysia wajar memahami dan menghayati makna sebenar Rukun Negara serta lagu Negaraku, dan bukan sekadar bangga memiliki kad pengenalan Malaysia.

“Perlu berusaha dengan lebih gigih dan di sini saya perlukan bantuan terutama rakan-rakan dalam Komuniti MADANI untuk memberi makna kepada Rukun Negara itu sendiri,” katanya berucap merasmikan Inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang Kluster Keselamatan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu di sini hari ini.

Turut hadir Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun.

Fahmi yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia 2024 berkata satu daripada kekayaan yang dimiliki Malaysia ialah rakyatnya terdiri daripada pelbagai latar belakang yang mampu hidup aman dan harmoni serta merdeka dalam sebuah negara.

Beliau berkata perkara itu adalah hasil tinggalan generasi terdahulu, terutamanya pemimpin yang berusaha memerdekakan negara ini, yang perlu dipertahankan dan difahami demi masa depan negara ini.

Fahmi berkata keadaan ekonomi negara semakin positif, dengan persepsi pelabur terus meningkat dan lebih ramai pelancong datang ke negara ini.

“Dengan limpahan daripada hasil ini kepada rakyat, kita harap rakyat akan lebih gembira dengan keamanan yang kita nikmati ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan