AM

Belanjawan 2025: KBS Guna Dapatan 'Kembara JOM' Penuhi Keperluan Belia

14/09/2024 09:32 PM

KUALA NERUS, 14 Sept (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menggunakan dapatan program Kembara Jumpa Orang Muda (Kembara JOM) sebagai panduan dalam penyelarasan Belanjawan 2025 bagi menjayakan program untuk memenuhi keperluan golongan belia.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim berkata kembara yang melabuhkan tirai di Terengganu hari ini, daripada keseluruhan 25 siri sejak Februari lepas itu menjadi platform untuk mendengar  hasrat dan aspirasi golongan itu.  

“… Contohnya, belanjawan ini akan diterjemahkan untuk program. Jadi, kita tidak boleh teruskan program yang kita lihat tidak lagi diperlukan. Sebaliknya, kita akan salurkan lebih banyak dana kepada program yang paling mustahak.

“Jadi, itu tujuannya dan input yang kita ambil dari kembara ini kita jadikan sebagai asas. Ini input terbaik yang kita boleh beri (iaitu) suara dan pendapat orang muda yang kita temui dan ajak berdialog,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada siri akhir Kembara Jumpa Orang Muda (Kembara JOM) peringkat negeri Terengganu di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah di sini hari ini. 

Adam Adli berkata dapatan awal kembara itu telah mengenal pasti kebimbangan utama golongan belia masih tertumpu kepada soal peluang, isu pendidikan, pekerjaan, dan kos sara hidup.

“Mereka menuntut agar ekonomi berkembang lebih pesat, dan membuka ruang untuk mereka muncul sebagai usahawan yang boleh bersaing serta kewujudan infrastruktur lebih baik.

“Tabung pembangunan usahawan wujud di banyak kementerian. Jadi, menjadi cabaran untuk KBS bagaimana menghubungkan mereka dengan lebih berkesan … dan kita kena selaraskan lebih banyak program selepas ini agar boleh buka peluang kepada belia,” katanya.

Menyentuh mengenai kembara itu, beliau berkata program berkenaan telah melepasi sasaran 19,000 peserta apabila siri akhir pada hari ini berjaya merekodkan kehadiran 22,000 orang yang mengambil bahagian di seluruh negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan