AM

PM Anwar Konsisten, Teliti Dalam Memenuhi Tuntutan MA63 - Penganalisis

15/09/2024 12:34 PM

Oleh Rohana Nasrah

KOTA KINABALU, 15 Sept (Bernama) -- Kejayaan menyelesaikan 11 tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dengan tujuh daripadanya dimuktamadkan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, membuktikan keseriusan kerajaan Persekutuan menunaikan komitmen dalam perjanjian tersebut.

Perdana Menteri begitu konsisten dan teliti memastikan semua tuntutan kerajaan Sabah dan Sarawak dipenuhi demi merealisasikan hak yang diperjuangkan, kata penganalisis tempatan Dr. Syahruddin Awang Ahmad.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu berkata usaha melunaskan tuntutan MA63 bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia melibatkan aspek kewangan, urus tadbir perundangan, dan Perlembagaan Persekutuan yang agak kompleks."

“Perdana Menteri sememangnya serius dalam memastikan hak penduduk Sabah benar-benar diperjuangkan, agar kerajaan hari ini dilihat berbeza dari segi fokus untuk MA63 berbanding pentadbiran kerajaan sebelum ini,” katanya kepada Bernama.

Dalam tempoh hampir dua tahun pentadbiran Anwar, tujuh tuntutan diselesaikan termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan Sarawak sebagai Jabatan Teknik, penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas serta pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) 1995 [Akta 533] bagi melantik wakil Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak sebagai anggota tetap LHDN.

Penyelesaian itu turut merangkumi pentadbiran badan kehakiman di Sabah dan Sarawak, serta garis panduan khas penyerahan semula tanah dirizabkan bagi tujuan Persekutuan di Sabah dan Sarawak.

Syahruddin, yang juga pakar dalam perhubungan awam kerajaan berkata penyelesaian tujuh perkara itu sangat signifikan kepada Sabah dan Sarawak, selain turut memberi impak kepada reputasi Perdana Menteri dalam hal berkaitan inisiatif kerajaan Persekutuan untuk menyempurnakan agenda MA63.

“Usaha Datuk Seri Anwar ini merupakan kesinambungan daripada empat perkara masing-masing ditangani pada era pentadbiran Perdana Menteri kelapan dan kesembilan. Namun, kali ini, beliau berjaya melunaskan tujuh tuntutan, iaitu pencapaian terbesar berbanding dua perdana menteri sebelum ini,” katanya.

Selain itu, Syahruddin berkata, kenaikan kadar pembayaran khas interim kepada Sabah dan Sarawak daripada RM300 juta kepada RM600 juta mulai tahun depan juga adalah bukti Perdana Menteri prihatin serta memahami secara mendalam isu berkaitan kenaikan kos di kedua-dua negeri.

“Keputusan Perdana Menteri ini juga didorong oleh kemahuan beliau untuk melihat rakyat di kedua-dua negeri dapat meneruskan kehidupan dengan baik dan tidak tertekan dengan isu kos sara hidup, terutamanya dalam kalangan ketua isi rumah,” katanya.

Syahruddin berkata kesungguhan Anwar menyelesaikan isu tuntutan MA63 dapat dilihat melalui sikap berlapang dada serta keterbukaan Perdana Menteri dalam perbincangan antara pemegang taruh MA63, menerusi pewujudan Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63).

Beliau berkata idea Anwar itu bukan sekadar delegasi kuasa kepada Sabah dan Sarawak atas dasar kepercayaan semata-mata, tetapi juga merupakan simbol jiwa besar beliau selaku Ketua Eksekutif pentadbiran Persekutuan dalam memastikan kedua-dua negeri tersebut wujud sebagai entiti Malaysia yang bermakna.

Ini sekali gus menyaksikan MTPMA63 sebagai wadah kepada semangat pembentukan Malaysia kerana majlis itu melambangkan pengiktirafan Sabah dan Sarawak sebagai sebahagian daripada Malaysia, katanya.

“Perdana Menteri dan kerajaan pimpinannya berusaha menunjukkan kepada penduduk Sabah dan Sarawak khususnya, dan rakyat Malaysia amnya, bahawa kedua-dua negeri perlu diberi perhatian, terutama dalam hal berkaitan aku janji yang perlu dilunaskan dalam MA63,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pensyarah kanan UMS Prof Madya Dr Romzi Ationg berpendapat bahawa usaha dan keseriusan Anwar dalam menyelesaikan agenda MA63, sejajar dengan semangat pembentukan Malaysia kerana komitmen seperti itu sememangnya telah lama dituntut.

“Hanya selepas 2010 barulah ada usaha lebih ketara dalam membincangkan perkara berkaitan MA63. Komitmen seperti ini diharap dapat memperkukuh lagi ikatan antara wilayah Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak sebagai sebuah negara Persekutuan dikenali sebagai Malaysia,” katanya.

Romzi berkata Anwar diyakini komited untuk menyelesaikan ketidakpuasan berkaitan isu MA63, berdasarkan kekerapan Perdana Menteri membincangkan perkara terkandung dalam perjanjian itu bersama jawatan kuasa MTPMA63. Ini sekali gus membolehkan keputusan dibuat dan pelbagai perkara yang dibangkitkan dimuktamadkan.

"Namun, rakyat Sabah dan Sarawak amat berharap agar komitmen tersebut dapat diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan yang sewajarnya oleh kerajaan Persekutuan serta kerajaan Sabah dan Sarawak," katanya sambil menambah bahawa rakyat Sabah dan Sarawak sememangnya amat berharap perkara termaktub dalam MA63 dimartabatkan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan