AM

Pesta Pantai Tanjung Bidara Dijadikan Acara Tahunan

15/09/2024 02:39 PM

ALOR GAJAH, 15 Sept (Bernama) -- Pesta  Pantai Tanjung Bidara akan dijadikan acara tahunan sebagai antara program memeriahkan sambutan Hari Malaysia di Melaka. 

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata Pesta Pantai Tanjung Bidara secara tahunan itu akan dilaksanakan bermula tahun depan dengan kerajaan negeri menetapkan tarikh sambutan pada 13 hingga 15 September. 

"Sambutan dan aktiviti sebegini secara tidak langsung memperhebat dan menghidupkan kembali kemeriahan di Tanjung Bidara di samping mempromosi kawasan pelancongan luar bandar sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024). 

"Untuk itu perubahan serta pembangunan baharu akan dilaksanakan di pantai ini dan kita akan kemukakan kepada kerajaan Persekutuan untuk persetujuan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Pantai Tanjung Bidara 2024 di sini hari ini yang turut dihadiri lebih 20,000 pengunjung dengan pelbagai aktiviti diadakan sepanjang hari. 

Beliau berkata perancangan itu juga bakal memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat terutama peniaga kecil dan pengusaha inap desa. 

"Ia juga akan menjadi sebahagian daripada persiapan bagi World Day Tourism UNESCO dengan seramai 151 negara yang diwakili menteri pelancongan dan warisan akan berkampung di Melaka selaku tuan rumah," katanya. 

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata kerajaan negeri akan mengadakan pertandingan Creative Content TikTok 2024 sempena TMM2024 bermula Oktober hingga hujung tahun ini. 

"Ramai yang saya lihat suka berswafoto serta ambil video dan ini peluang mereka untuk memenangi RM5,000. Jadi berkaryalah di platform itu dengan mencipta video menarik.

"Pelbagai kategori akan ditawarkan untuk membolehkan sesiapa sahaja menyertai pertandingan ini dan kandungan video itu mestilah satu bahan baharu yang mampu menarik kehadiran pelancong ke Melaka," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan