AM

Gadis Susah Tidak Mampu Ke UTeM Dapat Perhatian Sim

16/09/2024 07:14 PM

BUKIT MERTAJAM, 16 Sept (Bernama) -- Kesusahan hidup seorang gadis hingga terpaksa menolak peluang menyambung pelajaran di Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) di Melaka mendapat perhatian Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.

Sim menerusi hantaran di laman Facebooknya berkata S.Dharsini, 21, baru-baru ini telah mendapat tawaran mengikuti kursus Ijazah Kejuruteraan Perisian di UTeM tetapi disebabkan keadaan keluarga yang daif, gadis itu mengambil keputusan untuk menolaknya. 

Beliau berkata ibu Dharsini merupakan orang kurang upaya (OKU) penglihatan dan beberapa tahun lepas patah kaki akibat kemalangan manakala ayahnya sudah meninggal kerana masalah jantung berair.

"Sepatutnya ini (tawaran belajar) berita baik sebab memang impian Dharsini untuk menjadi seorang ‘software engineer’ (jurutera perisian) tapi dia tak sanggup membebankan ibu tersayang kerana yuran universiti dan semua kos mencecah puluhan ribu, dia beritahu saya yang (dia) baru terima tawaran kerja sambilan di sebuah pasar mini.

"Kalau rajin kerja bolehlah dapat RM1,500 sebulan dan duit itu boleh (digunakan untuk) jaga ibu dan sedikit demi sedikit dia akan menabung untuk pergi belajar jika keadaan lebih baik nanti. Saya berasa terharu bercampur kagum (kerana) di usia muda ketika ramai sedang mengejar cita-cita, Dharsini sanggup melupakan cita-cita sendiri demi ibu tersayang," katanya menerusi Facebook hari ini.

Sim yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam, berkata beliau terus ke rumah dua beranak itu selepas mendapat laporan berhubung kisah hidup Dharsini kerana mahu membuat kejutan kepada ibu dan gadis tersebut.

Beliau berkata dalam kunjungan itu beliau turut membawa borang pendaftaran UTeM dan meminta Dharsini mengisinya namun gadis tersebut memaklumkan tiada duit untuk mendaftar walaupun hanya RM2,000 serta tidak mampu menampung kos lain untuk pergi ke sana.

“Saya maklumkan kepada Dharsini dan ibunya yang kos untuk belajar di UTeM saya tanggung semua termasuk yuran pendaftaran dan kos perjalanan untuk pergi sana. Nak laptop (komputer riba) saya bayarkan," katanya.

Beliau berkata jika Dharsini berpeluang mendapat pembiayaan daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), dana yang beliau beri bolehlah digunakan untuk menampung keperluan hidup gadis itu termasuk ibunya.

Sim juga berkata ‘anak angkatnya’ kini semakin ramai tanpa mengira agama mahupun warna kulit dan beliau akan terus berusaha memastikan mereka yang tidak berkemampuan mencapai cita-cita masing-masing melalui pendidikan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan