EKONOMI

Pelabur Asing Beli Bersih Ekuiti RM217.6 Juta Minggu Lepas – MIDF

17/09/2024 11:48 AM

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Pelabur asing membeli bersih ekuiti berjumlah RM217.6 juta bagi tempoh 9-13 September, untuk minggu kelima berturut-turut, menjelang jangkaan pelonggaran Rizab Persekutuan Amerika Syarikat minggu ini.

Menurut laporan aliran dana MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF), ia menjelaskan pelabur asing membeli bersih saham pada tiga daripada lima hari sepanjang minggu lepas.

"Bagaimanapun, mereka menjual bersih RM129.8 juta pada Rabu (11 Sep) dan RM95.1 juta pada Khamis (12 Sep).

“Tiga sektor teratas dengan aliran masuk asing bersih tertinggi ialah utiliti (RM335.0 juta), hartanah (RM52.8 juta) dan pembinaan (RM49.4 juta),” kata bank pelaburan itu.

Sementara itu, ia berkata sektor dengan aliran keluar asing bersih tertinggi ialah produk dan perkhidmatan pengguna (RM71.2 juta), perkhidmatan kewangan (RM47.3 juta) dan penjagaan kesihatan (RM35.4 juta).

Institusi tempatan mengakhiri jualan bersih empat minggu berturut-turut dengan membeli bersih RM3.5 juta minggu lepas, kata MIDF.

"Mereka menjual bersih RM274.6 juta pada Selasa (10 Sep) dan RM12.4 juta pada Jumaat (13 Sep), tetapi menjadi pembeli bersih untuk baki minggu itu," katanya.

Peruncit tempatan pula kembali menjadi penjual bersih berjumlah RM221.1 juta, selepas membeli bersih dengan nilai RM162.2 juta pada minggu sebelumnya.

"Mereka membeli bersih RM16.7 juta pada Rabu (11 Sept) tetapi menjadi penjual bersih untuk sepanjang minggu," katanya.

MIDF juga melaporkan purata volum dagangan harian meningkat 12.5 peratus dalam kalangan institusi tempatan dan 10.6 peratus dalam kalangan pelabur asing, manakala peruncit tempatan mengalami penurunan 5.4 peratus.

-- BERNAMA 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan