DUNIA

PM Laos Sonexay Terima Anugerah Kecemerlangan Kepimpinan Terbilang Asean 2024

17/09/2024 05:16 PM

VIENTIANE, 17 Sept (Bernama-KPL) -- Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone diberi penghormatan sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan Kepimpinan Terbilang ASEAN 2024, menurut Agensi Berita Laos (KPL).

Anugerah itu disampaikan kepada Perdana Menteri Sonexay oleh Presiden Institut Strategik KSI untuk Asia Pasifik dan Kelab Ekonomi ASEAN Tan Sri Michael Yeoh, semasa Forum Kepimpinan dan Perkongsian ASEAN 2024 yang diadakan di Vientiane pada Isnin (16 Sept).

Pengiktirafan berprestij ini menyerlahkan sumbangan penting Perdana Menteri Sonexay kepada pembangunan Laos dan kepimpinan beliau dalam hal ehwal ASEAN, terutamanya semasa Laos memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 2024.

Anugerah Kecemerlangan Kepimpinan Terbilang ASEAN merupakan penghargaan penting yang dianugerahkan kepada pemimpin ASEAN yang menunjukkan kepimpinan dan komitmen cemerlang terhadap pembangunan serantau.

Dalam ucapannya, Sonexay merakamkan rasa terima kasih yang mendalam kepada Institut Strategik KSI untuk Asia Pasifik dan Kelab Ekonomi ASEAN.

Beliau menegaskan bahawa anugerah itu bukan sahaja mencerminkan usaha beliau tetapi juga mengiktiraf sumbangan rakyat Laos dan sokongan tidak berbelah bahagi daripada negara anggota ASEAN dan rakan kongsi luar.

Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Institut Strategik KSI atas sokongannya terhadap inisiatif ASEAN dan sokongannya untuk Pengerusi ASEAN Laos di bawah tema "ASEAN: Meningkatkan Kesalinghubungan dan Daya Tahan."

Beliau berkata sokongan sedemikian adalah penting untuk memastikan kejayaan Pengerusi ASEAN Laos pada 2024.

-- BERNAMA-KPL


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan