AM

Isu Pencemaran Di Telok Gong: SPRM Beri Jaminan Akan Ambil Tindakan Terhadap Pihak Berkuasa

18/09/2024 08:16 PM

PUTRAJAYA, 18 Sept (Bernama) -- Tindakan akan diambil terhadap pihak berkuasa jika wujud unsur rasuah atau salah guna kuasa berikutan isu pencemaran berpunca dari kilang pemprosesan sisa buangan disyaki beroperasi secara haram sejak 10 tahun lalu di Telok Gong, Pelabuhan Klang.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata Pengarah Bahagian Perisikan SPRM Datuk Zainul Darus telah diarah menghantar pegawai penyiasat bagi mendapatkan maklumat terperinci berhubung isu itu yang menjejaskan kira-kira 40,000 penduduk.

"Saya beri jaminan di sini, SPRM akan bertindak sekiranya perkara yang tidak dipantau ini ada unsur-unsur rasuah ataupun salah guna kuasa terutama melibatkan pihak berkuasa. Kami akan menjalankan siasatan segera.

"Walaupun tidak ada laporan, itu tidak menjadi masalah kepada kami, yang penting di sini adalah penyaluran maklumat … jadi SPRM akan melihat perkara ini kenapa selama 10 tahun tidak dipantau dan kenapa ia berlaku," katanya dalam sidang media khas di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai puluhan kilang haram kitar semula plastik dan tayar di Telok Gong berhampiran Pelabuhan Klang yang didakwa menjalankan operasi tanpa diganggu pihak berkuasa.

Ahad lepas, sebuah akhbar berbahasa Melayu melaporkan sejak 10 tahun lepas, kira-kira 40,000 penduduk di Teluk Gong terpaksa menghidu bau busuk berikutan wujud puluhan kilang pelupusan sisa pepejal dipercayai beroperasi secara haram yang turut menyebabkan air sungai di sekelilingnya tercemar dan berwarna hitam legam.

Keadaan itu terjadi akibat kewujudan puluhan kilang disyaki beroperasi secara haram menjalankan kerja-kerja pemprosesan sisa buangan yang tidak melalui proses atau prosedur betul. 

Azam juga berkata SPRM memerlukan tempoh sebulan untuk melengkapkan siasatan berhubung sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi milik persatuan nelayan dan disyaki memberi rasuah kepada penguat kuasa di Sibu, Sarawak sebagai balasan menyembunyikan tindakan itu sebelum mengenal pasti pihak yang terlibat untuk didakwa.

"(Proses) panggil saksi hampir selesai, kami sedang membuat analisis berhubung akaun dan pengiraan yang lain," katanya.

Beliau berkata kegiatan pengubahan wang haram oleh syarikat itu sedang disiasat untuk melihat hasil mereka dalam aktiviti seludup minyak diesel yang boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Selain itu, Azam berkata SPRM akan menghubungi Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang isu lain sekiranya ada penglibatan cukai.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan