KUALA KRAI, 24 Sept (Bernama) -- Walaupun berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) namun ia tidak menjadi penghalang bagi Ruhana Mohamed Noor menjana pendapatan sendiri dengan menghasilkan bunga sabun sejak 40 tahun lepas.
Ruhana, 64, berkata dia mula berkecimpung dalam bidang itu selepas terpaksa berhenti kerja di sebuah kilang akibat kakinya termasuk dalam mesin memproses getah keping yang menyebabkan dia kehilangan kaki kanan sehingga ke paras paha.
“Insiden itu berlaku pada tahun 1993 ketika saya sedang mengandungkan anak sulung, akibat daripada kemalangan di tempat kerja itu saya mengambil keputusan untuk berhenti bekerja dan mula menceburi bidang kraftangan iaitu bunga sabun.
“Saya mempelajari teknik dan cara pembuatan bunga sabun dengan ibu saya Mek Nab Ahmad, 79, yang mesra dikenali dengan Kak Yah Bunga memandangkan dia turut menghasilkan pelbagai kraftangan bermotifkan bunga,” katanya kepada pemberita di Kampung Kuala Pertang Baru, di sini, hari ini.
Ibu tunggal itu berkata pada awalnya dia hanya menggunakan tiga bahan untuk menghasilkan bunga sabun, iaitu sabun mandi, gam dan tepung jagung namun hasilnya tidak memuaskan memandangkan ia cepat berkulat dan mudah patah.
Beliau kemudian mencari maklumat serta mempelajari teknik baharu di laman media sosial untuk menghasilkan bunga sabun yang lebih kuat dan tahan lama.
“Antara bahan tambahan yang digunakan ialah cuka makan yang dijadikan sebagai bahan awet, losyen untuk membuatkan bunga bertambah wangi selain minyak bayi untuk mengelakkan ia melekat dan juga menggunakan tepung jagung yang telah disangai.
“Kesemua bahan itu diadun untuk dijadikan doh sebelum ia dipanaskan di dalam kuali sekitar 10 minit dan diperap bagi tempoh seminggu atau sekurang-kurangnya tiga jam untuk memastikan doh yang dihasilkan berada dalam keadaan yang baik sekali gus senang dibentuk menjadi kelopak bunga,” katanya.
Ruhana yang juga mempunyai kemahiran menghasilkan kraftangan lain termasuk bunga botol menggunakan bahan terbuang berkata, beliau menghasilkan bunga sabun bermotifkan bunga mawar serta bunga lili dalam pelbagai warna mengikut permintaan pelanggan.
Katanya bunga sabun buatannya dijual serendah RM2 sehingga mencecah RM80 bergantung kepada saiz gubahan yang dihasilkan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial