EKONOMI

Pasaran Getah Tempatan Dijangka Diniagakan Seimbang Minggu Depan

28/09/2024 10:39 AM

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

 

KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) -- Pasaran getah tempatan dijangka diniagakan seimbang dengan dinamik permintaan dan penawaran mengimbangi antara satu sama lain memandangkan aktiviti perdagangan akan terhad pada tahap tertentu berikutan cuti Minggu Emas di China yang akan datang, kata pakar industri Denis Low.

Bagaimanapun, beliau berkata akan berlakunya aktiviti pembelian dan penambahan semula stok secara sekali-sekala berdasarkan kepada penggunaan semasa.

“Sehubungan itu, kami tidak menjangkakan sebarang lonjakan besar dalam dinamik penawaran dan permintaan,” katanya kepada Bernama.

Low juga berkata harga sepatutnya kekal tidak berubah terutamanya disebabkan oleh hujan yang kembali reda di kawasan-kawasan pengeluar getah.

“Peniaga perlu lebih berhati-hati dalam pembelian mereka kerana dolar AS bergerak seiring dengan harga komoditi.

“Apabila dolar AS susut nilai, harga komoditi cenderung untuk meningkat. Kemungkinan turun naik sebegini sukar diramal kerana permintaan daripada negara-negara perdagangan besar yang terlibat tidak dapat dijangka,” katanya.

Sementara itu, Pertubuhan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) berkata gangguan bekalan getah asli (NR) akan terus menjadi kebimbangan pada minggu depan berikutan keadaan cuaca buruk di negara-negara pengeluar getah, ditambah pula dengan prestasi pasaran hadapan getah serantau.

"Terdapat laporan iaitu pakar-pakar ekonomi menjangkakan defisit NR global sebanyak 1.2 juta tan pada 2024, dan keadaan ini diunjurkan akan terus meningkat mulai pertengahan Januari 2025 dan seterusnya, disebabkan peningkatan intensiti cuaca ekstrem di negara-negara pengeluar NR," katanya.

Pada asas Jumaat hingga Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) meningkat 5.50 sen kepada 848.50 sen sekilogram daripada 843 sen sekilogram minggu lepas.

Sementara itu, susu getah pukal naik 18 sen kepada 708 sen sekilogram daripada 690 sen sekilogram sebelumnya.

Pada 5 petang, harga rujukan LGM untuk GMM 20 fizikal berada pada 843.50 sen sekilogram, manakala susu getah pukal pada 710 sen sekilogram.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan