AM

Seminar Manuskrip Nusantara Akan Dilakukan Secara Berkala, Di Perluas Ke Negara ASEAN

28/09/2024 11:59 AM

Daripada Nur Khalidah Abdul Halim

JAKARTA, 28 Sept (Bernama) -- Seminar bagi mengangkat kepentingan manuskrip Nusantara akan terus dilakukan secara berkala dengan menumpukan kepada isi kandungan yang boleh dihasilkan daripada khazanah manuskrip berkenaan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) Sakri Abdullah.

Beliau berkata dalam usaha mengantarabangsakan manuskrip Nusantara, pihaknya bercadang untuk memperluaskan seminar seumpama itu di negara-negara ASEAN, di samping menumpukan kerjasama antara penerbit dalam dan luar negara menerusi penganjuran seminar-seminar berkenaan.

“Kita rancang untuk melakukan seminar ini satu atau dua tahun sekali. Untuk yang pertama ini kita telah laksanakan di Jakarta. Selanjutnya di Kuala Lumpur dan kita akan cari rakan sinergi di Singapura, Brunei atau Filipina.

“Ini juga memberi satu motivasi kepada semua pihak untuk menerbitkan karya daripada manuskrip kuno, ia bukan hanya tanggungjawab sesebuah negara sahaja,” katanya dalam rancangan audio siar (podcast) ‘Benda Boleh Gaduh? Kenapa Bincang’ di Perpustakaan Jakarta dan Pusat Dokumen Sastra HB Jassin di sini semalam.

Rancangan yang mengupas topik "Manuskrip Nusantara-Jom Manfaatkan, Tanggungjawab Bersama" itu turut menampilkan Ketua Unit Pengelola Perpustakaan Jakarta dan Pusat Dokumen Sastra HB Jassin Diki Lukman Hakim selaku panel.  

Episod ke-17 itu merupakan rentetan penganjuran Seminar Pengantarabangsaan Manuskrip Nusantara pada 25 Sept lepas bersempena Pesta Buku Antarabangsa Indonesia (IIBF) 2024 yang berlangsung selama lima hari dan berakhir pada Ahad ini.

Sementara itu Diki berpendapat seminar berkenaan merupakan inisiatif awal dalam melahirkan kesedaran bersama untuk bekerjasama memartabatkan manuskrip Nusantara, khususnya antara Malaysia dan Indonesia.

Beliau berkata penganjuran seminar berkenaan boleh dikembangkan di peringkat ASEAN dalam usaha untuk mendalami dan menyatukan khazanah manuskrip yang ada di Nusantara.  

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan