AM

PRK Mahkota: Keputusan Dijangka Seawal 9 Malam Ini - SPR

28/09/2024 12:45 PM

KLUANG, 28 Sept (Bernama) -- Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota dijangka dapat diketahui seawal 9 malam ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Ramlan Harun.

Beliau berkata jangkaan itu, berdasarkan lokasi pusat mengundi yang berdekatan dan proses pengundian yang berjalan lancar, membolehkan keputusan dapat diketahui dengan lebih cepat. 

“Di Kluang, logistiknya agak mudah dan dekat dengan semua, selain tempat mengundi juga berhampiran dengan bandar, jadi kita menjangkakan 9 malam,” katanya.

Ramlan berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian di pusat mengundi Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini hari ini.

Ditanya jangkaan peratusan keluar mengundi kali ini, Ramlan berkata SPR menjangkakan lebih 60 peratus, berbanding pilihan raya sebelum ini, iaitu 57 peratus.

Setakat 11 pagi, Ramlan berkata peratusan keluar mengundi ialah 23.39 peratus, meningkat berbanding 22.4 peratus yang direkodkan bagi tempoh yang sama pada pilihan raya lepas.

“Bermaksud ada peningkatan yang baik, tetapi kita masih mengharapkan pengundi yang belum keluar mengundi dapat keluar (mengundi).

“Kita berharap (peratusan) pengundian akan terus meningkat dengan baik, bagi memastikan demokrasi yang kita junjung berjalan dengan baik,” katanya.

Ramlan berkata beliau juga berharap agar mereka dapat menunaikan tanggungjawab itu lebih awal, kerana mengikut ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bandar Kluang dijangka mengalami hujan petang ini.

Mengulas mengenai perjalanan proses pengundian setakat ini, Ramlan berkata SPR berpuas hati dengan kelancaran proses yang berjalan tertib dan teratur.

SPR, menurut Ramlan tidak menerima laporan sebarang insiden tidak diingini berlaku, namun beliau menambah pihaknya difahamkan terdapat dua laporan polis dibuat dengan tindakan dilakukan pihak berkuasa itu.

“Lain-lain laporan berkenaan kesalahan kecil pilihan raya seperti isu poster dan sebagainya telah diambil tindakan oleh pemantau SPR,” katanya.

PRK DUN Mahkota melibatkan pertembungan antara calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah dengan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar. 

Data SPR menyatakan seramai 61,274 pengundi layak mengundi hari ini, manakala undi awal pada Selasa lepas melibatkan 4,437 tentera dan pasangan serta polis selain 607 kertas undi telah dikeluarkan pada 15 Sept.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan