DUNIA

Promosi Makanan Dan Filem Malaysia Diadakan Di Namibia

28/09/2024 04:32 PM

KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) -- Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Windhoek, Namibia menganjurkan Promosi Makanan dan Filem Malaysia kali kedua pada Jumaat, 27 September.

Menurut kenyataan suruhanjaya tinggi itu, acara berkenaan adalah sambungan kepada promosi yang diadakan tahun lepas di Pawagam Namibia di mana filem Mat Kilau ditayangkan.

Suruhanjaya tinggi itu berkata kali ini, filem Mat Kilau ditayangkan di bangunan Chancery dengan sistem bunyi yang lebih baik serta skrin LED yang memanfaatkan lebih 140 penonton.

"Selain mempromosikan makanan dan minuman Malaysia, tetamu turut dihiburkan dengan filem box office (pecah panggung) Malaysia yang diterbitkan oleh Datuk Yusof Haslam - Sheriff," menurut kenyataan itu.

Menurut suruhanjaya tinggi itu, Yusof turut menghantar pesanan ringkas kepada Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Datuk Dr Mohamad Rameez Yahaya untuk menyatakan persetujuannya atas penayangan filem berkenaan di Namibia dan kegembiraannya kerana tetamu akan menyukai filem yang dihasilkan bersama anaknya itu.

Suruhanjaya tinggi itu berkata tetamu yang dijemput terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelajar dari Lim Kok Wing Namibia; ahli Persatuan Malaysia Namibia; rakyat Malaysia yang menetap di Namibia; komuniti diplomatik; ahli media dan stesen televisyen; ahli perniagaan serta petugas (home based staff) dan kakitangan tempatan (LRS) Malwakil (misi Malaysia) Windhoek.

Menurut kenyataan itu, para jemputan dihidangkan dengan pelbagai jenis makanan dan minuman Malaysia seperti Nasi Lemak, Udang Sambal Besar, Rendang Ayam Kerisik, Sambal Tumis dihidangkan bersama telur rebus, timun, kacang tanah dan ikan bilis, serta minuman Sirap Bandung.

Selain itu, makanan masyarakat India di Malaysia seperti Roti Canai dan Kari Dhal serta Mee Goreng Mamak turut dihidangkan. Menu Malaysia lain termasuk sate ayam dan daging biri-biri panggang.

Menurut suruhanjaya tinggi itu, para hadirin berpuas hati dengan program lebih dua jam yang menawarkan makanan enak serta tayangan filem yang menarik.

Tambahnya, Suruhanjaya tinggi itu turut menerima permintaan agar acara seumpama itu diadakan dengan lebih kerap kerana ia mencerminkan penyertaan aktif Malaysia di Namibia.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan