AM

KKDW Sedia Pelbagai Kursus, Bimbingan Digital Kepada Usahawan Desa

28/09/2024 05:46 PM

TASEK GELUGOR, 28 Sept (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyediakan pelbagai kursus dan bimbingan digital menerusi Program Pendigitalan Usahawan Desa (PPU) dalam usaha membantu usahawan luar bandar memasar dan menambah baik kualiti produk sebagai persediaan memulakan perniagaan dalam talian.

Ketua Setiausaha KKDW Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar berkata pemasaran secara digital kini telah menjadi norma baharu dalam perniagaan, justeru usahawan perlu mempunyai strategi serta kemahiran agar memberi impak yang berkesan dalam perniagaan mereka.

"KKDW memperuntukkan RM1.7 juta untuk PPU, dengan menyasarkan 1,200 usahawan mendigitalkan perniagaan mereka pada tahun ini, jadi kami menyeru semua usahawan mengambil peluang ini bagi menambah baik produk mereka.

"Seramai 3,249 usahawan desa telah dilatih menerusi PPU sejak ia dilaksanakan tiga tahun lepas dan sehingga kini terdapat 6,000 produk usahawan desa dimasukkan ke dalam rekod sistem e-dagang KKDW," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Ekspo Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) 2024 (Expert) di Midtown Perda di sini malam tadi.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Sub Kanan Khidmat Pengurusan KKDW Datuk Roslan Mahmood dan majlis itu dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak. Turut hadir Pengerusi Perda Datuk Shaik Hussein Mydin.

Sementara itu Shaik Hussein berkata Expert 2024 yang berlangsung sejak semalam hingga 29 Sept ini menyasarkan penyertaan lebih 250 usahawan dengan nilai jualan dan perolehan berjumlah RM1.7 juta serta kehadiran pengunjung lebih 75,000.

Beliau berkata penganjuran kali ini melibatkan 252 reruai yang terdiri pelbagai kategori perniagaan yang ditawarkan antaranya produk makanan dan minuman, perkhidmatan, pertanian, automotif,  kosmetik, produk kesihatan, kraftangan dan kelengkapan rumah.

"Penganjuran ekspo itu dibuat setiap tahun, bagi mempromosi produk-produk keluaran usahawan khususnya di luar bandar di Pulau Pinang," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan