JENAYAH & MAHKAMAH

Krisis Nasab: Kanak-kanak GISBH Berdepan Risiko Diisytihar Anak Wati' Syubhah

28/09/2024 06:21 PM

Oleh Muhammad Bashir Roslan & N.Kuvineshwaren

KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) -- Sebahagian kanak-kanak penghuni rumah amal dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), berdepan risiko diisytihar anak wati’ syubhah, iaitu anak yang lahir daripada persetubuhan tidak sah jika tiada pengakuan nasab yang sahih daripada ibu bapa mereka.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Musa Awang berkata dalam undang-undang syariah khususnya melalui Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan 1984 menetapkan bahawa, pengiktirafan nasab seseorang anak bergantung kepada status pernikahan ibu dan bapa.

“Jika seorang bapa mengaku seseorang itu anaknya, dia perlu mengemukakan sijil pernikahan yang sah. Jika tiada sijil, dia perlu mendapatkan pengesahan di mahkamah syariah untuk mengesahkan pernikahan tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Namun, Musa menekankan dalam kes kanak-kanak yang diselamatkan daripada rumah amal itu, ada ibu bapa yang seolah-olah tidak mengenali anak-anak mereka, menjadikan status nasab mereka samar.

Musa berkata dalam konteks penentuan nasab bagi kanak-kanak hasil pernikahan tidak sah dan tidak didaftarkan, cabaran paling sukar adalah untuk menentukan status pernikahan ibu bapa mereka termasuk usaha mengemukakan bukti dokumen serta memanggil saksi-saksi semasa akad nikah dilakukan.

“Mungkin ada saksi, mungkin tiada saksi, atau mungkin saksi sudah meninggal dunia atau tidak dapat dikesan. Apabila ini berlaku, sesuatu perkahwinan itu boleh dianggap tidak sah, menyebabkan anak tersebut diisytiharkan sebagai anak wati' syubhah.

“Sebab itu penting untuk ibu atau bapanya tampil ke hadapan pihak berkuasa untuk mengakui kesahihan nasab anaknya,” katanya.

Musa berkata tanpa penentuan status itu juga, pastinya akan menyukarkan kanak-kanak berkenaan untuk mendapatkan hak keperluan asasi seperti pendidikan, kesihatan dan kewarganegaraan.

Beliau berkata dalam hukum syarak, anak kecil yang dibuang atau ditinggalkan tanpa penjaga disebut sebagai al-laqit dan menjadi amanah kepada orang yang menemuinya, atau yang ditunjukkan kepadanya, untuk menyerahkannya kepada pihak berkuasa bagi tujuan untuk memeliharanya.

Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab semua orang Islam, termasuk kerajaan atau Baitulmal, untuk menjaga atau menyediakan penempatan bagi anak-anak al-laqit ini sehingga mereka mencapai usia dewasa, atau diserahkan kepada keluarga angkat Islam yang mampu memelihara mereka dengan baik, jelas Musa, menambah PGSM sudi menawarkan kepakaran PGSM untuk membantu kerajaan menyelesaikan isu nasab ini. 

Pada 23 Sept, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mendedahkan selepas dua minggu menjalankan Op Global susulan skandal GISBH, ibu bapa kepada 572 kanak-kanak dan remaja yang diselamatkan dari rumah amal tersebut, masih belum tampil menuntut anak mereka.

Ini dipercayai kerana mereka ingin menyembunyikan taktik menjadikan rumah amal yang diuar-uarkan sebagai rumah perlindungan anak-anak yatim bagi mendapatkan bantuan daripada orang ramai terbongkar, sedangkan mereka sebenarnya adalah anak-anak ahli.

Lebih menyedihkan ada ibu bapa yang ditahan tidak mengaku kanak-kanak yang diselamatkan itu anak mereka dan hasil soal siasat menunjukkan ada kanak-kanak yang tidak kenal siapa ibu bapa mereka.

Sementara itu, menjawab dari segi kerangka perundangan sivil, pengamal undang-undang sivil dan syarie Muhammad Hariz Md Yusoff berkata kanak-kanak yang diragui nasabnya, berisiko diisytihar sebagai stateless atau tidak mempunyai kewarganegaraan.

Beliau berkata undang-undang di Malaysia sangat ketat dalam pemberian taraf kewarganegaraan, dan tidak semudah mana-mana individu mendakwa seseorang kanak-kanak berhak didaftarkan sebagai warganegara tanpa sebarang bukti sokongan. 

Sehubungan itu Muhammad Hariz berkata proses pengesahan nasab bagi kanak-kanak yang diselamatkan itu, perlu dipercepatkan untuk mengelakkan isu berkaitan termasuk masalah dalam penentuan faraid.

“Mengikut Seksyen 7 Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957, pendaftaran talian nasab adalah penting dan proses pengesahan harus melalui prosedur mahkamah, meskipun kos dan masa menjadi cabaran utama,” katanya.

Dalam konteks kanak-kanak yang disyaki didera atau diabaikan, undang-undang sivil menyediakan platform antaranya Akta Kanak-Kanak 2001 dan  Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. Selain itu, tindakan sivil juga boleh diambil untuk menuntut pampasan bagi kecuaian atau pengabaian oleh penjaga.

Muhammad Hariz juga menekankan kepentingan kempen kesedaran dan peranan badan bukan kerajaan (NGO) dan penguat kuasa dalam memudahkan proses penentuan nasab kanak-kanak berkenaan.

“Keputusan yang diambil harus sentiasa mempertimbangkan kesejahteraan dan hak kanak-kanak, termasuk hak untuk mengenali ibu bapa mereka serta sokongan psikologi untuk membantu mereka mengatasi situasi sukar ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan