DUNIA

Hizbullah Sahkan Hassan Nasrallah Terkorban Dalam Serangan Udara Israel

28/09/2024 11:17 PM

BEIRUT, 28 Sept (Bernama-Anadolu) -- Hizbullah pada Sabtu mengumumkan bahawa Setiausaha Agungnya, Hassan Nasrallah telah terkorban dalam serangan udara rejim Zionis di pinggir bandar selatan Beirut, lapor Agensi Anadolu.

Dalam satu kenyataan, Hizbullah menyatakan: “Seyyed Hassan Nasrallah, Setiausaha Agung Hizbullah, telah menyertai rakan-rakan syahidnya yang agung dan abadi, yang jalannya dipimpinnya selama kira-kira 30 puluh tahun, gugur di jalan menuju Baitulmuqaddis dan Palestin."

Hizbullah menekankan kepimpinan Nasrallah selama berdekad dalam penentangan terhadap Israel, sambil menyatakan bahawa dedikasinya kepada perjuangan pembebasan Palestin telah mendefinisikan kehidupannya dan kini "kesyahidannya."

Nasrallah, yang menjadi Setiausaha Agung Hizbullah sejak 1992, memainkan peranan penting dalam pergerakan penentangan Lebanon, terutamanya dalam konfrontasi dengan tentera Israel.

Kematian beliau menandakan detik penting dalam konflik berterusan antara Hizbullah dan Israel.

Kenyataan Hizbullah itu diakhiri dengan menegaskan komitmen kumpulan itu terhadap misi Nasrallah, dengan menyatakan: "Pemergiannya hanya akan menguatkan tekad penentangan untuk meneruskan perjuangan menentang musuh Zionis dan membebaskan Palestin."

Terdahulu dalam satu kenyataan pada Sabtu, tentera Israel mendakwa pemimpin Hizbullah Hassan Nasrallah telah "dihapuskan" dalam operasi yang menyasarkan ibu pejabat Hizbullah yang terletak di bawah sebuah bangunan kediaman di pinggir bandar selatan Beirut.

Sejak Isnin, tentera Israel telah melancarkan serangan "paling sengit dan meluas" ke atas Lubnan sejak konfrontasinya dengan Hizbullah bermula kira-kira setahun yang lalu.

Sebagai tindak balas, Hizbullah telah melancarkan ratusan roket ke lokasi ketenteraan Israel, penempatan, malah ibu pejabat Mossad di Tel Aviv, dengan sekatan ketat terhadap laporan mengenai korban dan kerosakan Israel, menurut pemerhati.

Hizbullah dan Israel telah terlibat dalam serangan rentas sempadan sejak permulaan serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza, yang telah mengorbankan hampir 41,600 mangsa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, pada 7 Okt lepas.

Masyarakat antarabangsa telah memberi amaran terhadap serangan di Lubnan kerana ia boleh meningkatkan risiko konflik Gaza bertukar kepada perang serantau.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan