POLITIK

PRK Mahkota: Kemenangan Besar Isyarat Jelas Retorik Pembangkang Tidak 'Berbisa'

29/09/2024 09:32 AM

Daripada Hasnah Jusid

BEIJING, 29 Sept (Bernama) -- Kemenangan calon Barisan Nasional (BN) dengan majoriti besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota semalam merupakan isyarat jelas kepada pembangkang bahawa retorik dan polemik yang sering dimainkan mereka tidak lagi ‘berbisa’ untuk meracuni pemikiran pengundi. 

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata perkara itu juga menunjukkan bahawa isu-isu 3R iaitu raja, agama dan kaum sudah tidak berupaya memecahkan perpaduan yang jitu di bawah pimpinan Kerajaan Perpaduan. 

“Hentikanlah, kita fokus kepada idea kita, usaha untuk menjana idea yang lebih bernas, lebih baik supaya kita dapat menyumbang kepada negara. Kemenangan ini bukti formula perpaduan diterima rakyat dan kita perlu berusaha lebih gigih untuk menyelesaikan isu-isu dihadapi rakyat,” katanya kepada Bernama di sini.

PRK DUN Mahkota menyaksikan calon BN Syed Hussien Syed Abdullah menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar dengan majoriti 20,648 undi, sekali gus BN mengekalkan kerusi DUN berkenaan.

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan turut menzahirkan kesyukuran atas kemenangan besar itu dengan laporan awal menjangkakan kemenangan dengan kira-kira majoriti 10,000 undi.

Beliau berkata keputusan itu sudah pasti membakar semangat parti dalam Kerajaan Perpaduan untuk meneruskan usaha menyantuni dan menyelesaikan masalah rakyat terutama membabitkan kos sara hidup.

Fahmi berkata ia menjadi peluang kepada parti dalam Kerajaan Perpaduan untuk mencari strategi tepat bagi menempa kejayaan pada Pilihan Raya Umum ke-16.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan