AM

Kesejahteraan Hidup Golongan Rentan Terus Diberi Perhatian- PM Anwar

30/09/2024 12:27 PM

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kebajikan golongan rentan di negara ini terus diberi perhatian selari dengan konsep ekonomi MADANI.

Mengambil contoh sektor pendidikan, beliau berkata terdapat anak-anak golongan kaya yang menikmati kemudahan pendidikan yang dibiayai kerajaan, berbanding golongan miskin.

"Sekadar yang saya faham, majoriti beri manfaat kepada golongan elit seperti orang kanan penjawat awam, pimpinan politik, pengusaha terkenal yang (anak-anak mereka) dihantar ke sekolah-sekolah terbaik, dibiaya kerajaan dengan kadar tinggi dan ini tidak munasabah, tidak adil.

"Sepatutnya anak orang kaya itu (yang) dihantar ke Fakulti Kejuruteraan, (sama ada) Melayu, Cina atau Iban - dia bayarlah. Dengan cara itu kita boleh menampung kekurangan, kalau tidak.. subsidi ini berterusan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Simposium Kebangsaaan: Menokhtahkan Kemiskinan di Putrajaya hari ini, yang turut dihadiri Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata segala bentuk ketirisan termasuk subsidi pendidikan kepada anak-anak golongan kaya, harus dihentikan.

Sambil memberi bayangan mengenai pembelaan berterusan kerajaan terhadap golongan rentan dalam Belanjawan 2025, Anwar berkata dengan pemberhentian pemberian subsidi kepada golongan kaya, ia akan digunakan untuk membantu rakyat miskin.

Beliau berkata kerajaan tidak mahu ada rakyat yang ketinggalan dalam arus kemajuan negara hanya disebabkan mereka tidak diberikan peluang sewajarnya.

“Kalau negara ini memaknai kemerdekaan dan kebebasan serta keadilan, maka fokus harus ke situ, kalau sekolah harus ada usaha berterusan langsung untuk meningkat kemudahan, keupayaan dan mutu.

“Bagaimana harus kita lakukan? Dengan memastikan dana diagihkan. Bagaimana boleh dapat diagihkan dana? Bentuk ketirisan termasuk anak-anak golongan paling kaya ke sekolah-sekolah menengah sains yang dibantu dan disubsidi tinggi oleh kerajaan, harus dihentikan,” katanya.

Anwar berkata beliau sedar beberapa tindakan yang diambil kerajaan pimpinannya tidak popular bagi sesetengah pihak, namun ia perlu dilakukan demi kesejahteraan golongan yang memerlukan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan