AM

LKIM Kaji Semula Keluasan Kawasan PNK

30/09/2024 06:09 PM

JERLUN, 30 Sept (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan mengkaji semula persempadanan kawasan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) sebagai usaha menambah baik pengurusan dan penyampaian perkhidmatan setiap PNK kepada nelayan.

Pengerusinya Muhammad Faiz Fadzil berkata pihaknya menerima sejumlah aduan daripada beberapa PNK yang berdepan kesukaran dari segi pengurusan susulan kawasan di bawah kendalian PNK berkenaan terlalu luas.

“Terdapat beberapa kawasan persatuan nelayan saiz geografinya besar, jadi kadang-kadang kita mendapat maklumat bahawa ia menyukarkan pengurusan terhadap nelayan-nelayan di kawasan besar ini.

“Kita akan semak balik dan kita akan kaji penyelesaian terbaik dan berkesan untuk memantapkan penyampaian perkhdimatan kita kepada nelayan, sama ada kita akan menubuhkan PNK baharu atau kita hanya tubuh unit di bawah PNK (sedia ada),” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Program Rahmah Mesra MADANI bersama nelayan Kuala Jerlun di sini hari ini.

Muhammad Faiz berkata usaha berkenaan penting dalam usaha memperkasakan semula PNK termasuklah dalam menjalankan pelbagai aktiviti pengukuhan ekonomi nelayan dengan penghasilan produk-produk hiliran.

“Kita mahu PNK memainkan peranan yang aktif untuk menjadi medium menambah pendapatan nelayan. Nelayan tidak hanya bergantung kepada jualan ikan semata-mata sebaliknya turut terlibat dalam penghasilan produk hiliran yang akan menguntungkan mereka.

“PNK boleh membantu memainkan peranan agar mereka menceburi bidang itu kerana selama ini kita lihat banyak syarikat besar terlibat dalam industri perikanan ini wujud dalam negara,” katanya.

Mengenai kejadian ribut di beberapa negeri termasuk Kedah, Muhammad Faiz berkata setakat ini hasil tangkapan ikan tidak terjejas dan LKIM sentiasa bersedia berdepan sebarang kemungkinan cuaca tidak menentu.

“Kita ada stok bekalan ikan simpanan sejuk beku sebanyak 1,500 metrik tan dan kita juga akan bekerjasama dengan syarikat swasta bagi memastikan bekalan mencukupi sepanjang masa,” katanya.

Terdahulu pada majlis itu, beliau menyampaikan bantuan peralatan menangkap ikan seperti tong ikan dan jaket keselamatan bernilai RM40,000 kepada 100 nelayan serta menziarahi beberapa nelayan yang memerlukan perhatian.

-- BERNAMA 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan