JENAYAH & MAHKAMAH

Kastam Rampas Rokok, Minuman Keras Dan Petrol Lebih RM600,000

30/09/2024 09:48 PM

IPOH, 30 Sept (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak menahan 17 individu termasuk dua wanita dan merampas rokok, minuman keras serta petrol dianggar bernilai RM639,579 dalam tiga serbuan berasingan di negeri ini pada Ogos dan bulan ini.

Pengarahnya Datuk Abdul Ghafar Mohamad berkata sitaan paling besar melibatkan 387,788 batang rokok dan 2,273.53 liter minuman keras dianggar bernilai RM410,008 termasuk cukai.

"Hasil operasi sepanjang Ogos dan bulan ini di sekitar negeri ini telah berjaya merampas rokok dan minuman keras pelbagai jenama yang disyaki barang larangan.

“Sebanyak 13 lelaki dan seorang wanita ditahan disyaki memiliki dan menjual rokok serta minuman keras itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Dalam kes lain, beliau berkata pihaknya menahan dua lelaki dan merampas 3.3 kilogram dadah dianggar bernilai RM13,331 di dua pejabat pos di bandar raya ini, disyaki untuk diedarkan kepada pelanggan.

Abdul Ghafar berkata kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

JKDM Perak juga, katanya menahan seorang wanita selepas disyaki cuba menyeludup keluar petrol bernilai RM210 di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Bukit Berapit, Pengkalan Hulu pada 18 Sept lepas dengan modus operandi mengubah suai tangki minyak kenderaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan