AM

KPKT Raih Tiga Sijil MBOR Semasa Penganjuran Hari Cuci Malaysia 2024

01/10/2024 02:56 PM

PUTRAJAYA, 1 Okt (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) hari ini menerima tiga sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) setelah mencipta rekod baharu semasa penganjuran Hari Cuci Malaysia 2024: Program Pembersihan Mega Sempena World Cleanup Day 2024, pada Sabtu lepas. 

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming menerima sijil berkenaan daripada Ketua Pegawai Eksekutif MBOR Christopher Wong di sini hari ini, sempena program yang berlangsung di Pasar Seni, Kuala Lumpur dan 649 lokasi di seluruh negara.

Tiga rekod baharu MBOR adalah '’Largest Simultaneous Participation in A ‘Gotong Royong’'’ iaitu penyertaan paling ramai dan serentak di seluruh negara, '’Heaviest Solid Waste Collected in A Day'’ (kutipan sisa pepejal terberat) dan '’Longest Non-Stop ‘Gotong Royong’ Cleanup Programme' iaitu tempoh masa gotong-royong paling lama selama 2 jam. 

Dalam ucapan beliau sempena penyerahan sijil MBOR berkenaan, Nga merakamkan penghargaan kepada semua jentera dan pihak yang terlibat dalam penganjuran program yang bertujuan memupuk budaya kebersihan ini.

“Program ini juga seiring dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang berteraskan kepada kemampanan dan kesejahteraan masyarakat sebagai tonggak utama.

“Dengan tempoh masa dan penyelarasan yang singkat, kita bersama-sama dapat memusatkan jentera dan operasi pelaksanaan di semua peringkat bagi mencapai sasaran yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata Hari Cuci Malaysia akan dijadikan sebagai acara tahunan dan agenda kementerian yang akan dilaksana pada Sabtu terakhir, bulan September. 

“Maka, saya ingin umumkan Hari Cuci Malaysia pada 2025 akan jatuh pada Sabtu terakhir bulan September,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan