EKONOMI

AmBank Lulus Pembiayaan RM193 Juta Untuk Projek Penambakan Tanah Di Senibong Cove

01/10/2024 03:03 PM

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- AMMB Holdings Bhd (AmBank Group) meluluskan pembiayaan RM115 juta kepada Senibong Cove Development Sdn Bhd (Senibong Cove) dan RM78 juta kepada JBB Builders (M) Sdn Bhd (JBB Builders), kontraktor yang dilantik untuk penambakan 60.7 hektar tanah tepi laut di Senibong Cove, Johor Bahru.

Menurut kenyataan bersama pada Isnin, ketiga-tiga pihak itu menjelaskan projek tersebut adalah lanjutan daripada pelan induk Senibong Cove dan bertujuan memperluas kawasan tanah bagi membina lebih banyak rumah yang direka dengan kualiti tinggi.

“Projek itu, yang dijangka siap pada 2028, akan melibatkan pembangunan lebih 4,000 teres mewah, pangsapuri, hotel dan pangsapuri berperkhidmatan, ruang runcit, selain kemudahan pelepasan kastam dan imigresen untuk kapal riadah persendirian serta kapal layar,” tambahnya.

Senibong Cove dengan keluasan 87 hektar adalah pembangunan tepi laut mewah di Johor Bahru dengan anggaran nilai pembangunan kasar melebihi RM5 billion.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank Jamie Ling berkata AmBank mengiktiraf keperluan untuk pilihan pembiayaan yang boleh diakses untuk memperkasakan perniagaan dalam usaha ke arah pembangunan mampan.

Beliau berkata pembangunan yang meluas ini bukan sahaja pelaburan dalam hartanah malah juga pelaburan dalam masa depan yang lebih mampan dan inklusif.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan