AM

UMS Perlu Jadi Pusat Ilmu Unggul, Perkukuh Kerjasama Dengan Industri - Hajiji

01/10/2024 05:55 PM

KOTA KINABALU, 1 Okt (Bernama) -- Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mahu Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus komited mewujudkan persekitaran pendidikan tinggi yang mampu menjadi pusat ilmu unggul sekali gus menghasilkan graduan berdaya saing dan berinovasi bagi memenuhi keperluan tenaga kerja mahir.

Hajiji yang juga Pro Canselor UMS berkata hal ini termasuk memperkukuh kerjasama dengan pemain industri dalam aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi.

Beliau berkata kerajaan Sabah sentiasa membantu UMS ke arah kemajuan dan peningkatan tahap pendidikan tinggi negara selaras dengan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang turut memberi penekanan kepada pembangunan modal insan, selain sektor perindustrian, pertanian dan pelancongan sebagai teras utama dalam memperkasa ekonomi negeri.

"Kerajaan dan rakyat Sabah amat bangga dengan pencapaian semasa UMS yang telah membantu menjana transformasi pembangunan dalam pelbagai aspek, selain menjadi pusat rujukan terutama di Sabah," katanya berucap pada Majlis Ikrar dan Aku Janji Sempena Minggu Suai Mesra Sesi 2024/2025 kali ke-30 UMS di sini hari ini.

Sebanyak 4,545 pelajar melanjutkan pengajian di UMS meliputi 14 fakulti di Kota Kinabalu, Sandakan dan Labuan bagi sesi akademik 2024/2025.

Sementara itu, Hajiji berkata kerajaan Sabah sentiasa menjadikan pembangunan modal insan sebagai keutamaan kerana hanya dengan pendidikan yang baik berupaya mengubah kualiti hidup rakyat sekali gus menyumbang kepada kejayaan serta kecemerlangan negara khususnya Sabah.

Justeru katanya, usaha memperkasakan pembangunan dan infrastruktur pendidikan di negeri itu akan terus diberi perhatian dalam usaha melahirkan modal insan berkualiti tinggi, berkemahiran dan berdaya saing. 

"Kerajaan negeri akan memastikan anak-anak Sabah dapat meneruskan pengajian hingga peringkat lebih tinggi menerusi pelbagai inisiatif diberikan merangkumi semua peringkat dari sekolah rendah, menengah hingga institusi pengajian tinggi.

"Kita tidak mahu ada yang terpinggir daripada menerima pendidikan di negeri ini," katanya.

Beliau berkata sebanyak 121,897 pelajar telah mendapat manfaat daripada inisiatif bantuan pendidikan Yayasan Sabah melibatkan perbelanjaan RM868 juta sejak 1967 hingga Jun 2024, selain kerajaan negeri turut menambah peruntukan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah daripada RM55 juta kepada RM101 juta pada 2023.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan