AM

Lebih 3,500 Usahawan Desa Dapat Manfaat Program Pendigitalan Usahawan

01/10/2024 06:42 PM

KUANTAN, 1 Okt (Bernama) -- Sebanyak 3,532 usahawan desa di seluruh negara berjaya mengembangkan perniagaan serta meningkatkan produktiviti dan pengurusan menerusi Program Pendigitalan Usahawan Desa (PPU) di bawah Program Desamall sejak ia dilaksanakan tiga tahun lepas.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Afandi Nordin berkata laporan daripada Jabatan Audit Negara mengenai Program Desamall mendapati 85 peratus daripada jumlah responden yang terlibat dengan tinjauan mengakui program itu berjaya membantu meningkatkan hasil jualan dalam talian.

“Perkembangan positif ini dapat direalisasikan melalui pendedahan dan latihan mengenai aplikasi digital perniagaan terkini dan bantuan berkaitan pendigitalan perniagaan yang diberikan KKDW dan rakan strategik terlibat.

“Alhamdulillah, hal ini menunjukkan usaha kementerian tidak sia-sia kerana ia memberi impak positif dan ternyata PPU memberi kesan kepada ekonomi usahawan desa. Pada 2024, sebanyak enam siri PPU direncanakan KKDW dengan sasaran mendigitalkan (setiap tahun) sebanyak 1,200 usahawan desa,” katanya ketika berucap merasmikan PPU Siri Lima Zon Timur Tahun 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata dunia kini sentiasa berubah dan ia merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan, justeru amat penting bagi usahawan desa tidak ketinggalan mendigitalkan perniagaan mereka dengan mengadaptasi penggunaan teknologi dalam mengembangkan serta memasarkan perusahaan lebih meluas. 

Hal ini berikutan e-dagang dalam era digital menurutnya, telah menjadi satu platform sangat penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara bahkan peningkatan hasil daripada urus niaga e-dagang juga menunjukkan peningkatan memberangsangkan saban tahun. 

“Berdasarkan Laporan Perangkaan Malaysia pada 2023, urus niaga e-dagang mencatat jumlah RM1.2 trilion berbanding 2022 sebanyak RM1.10 trilion dan jumlah itu menyumbang sebanyak 23 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar.

“Pada 2024, dijangka trend peningkatan diteruskan dengan urus niaga melalui e-dagang hingga suku kedua 2024 mencatatkan RM302.4 bilion, peningkatan sebanyak 7.8 peratus berbanding suku kedua 2023,” katanya. 

Afandi berkata dapatan itu membuktikan e-dagang bukan sahaja membantu meningkatkan pendapatan usahawan, tetapi juga menyumbang pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhan dan kerana itu, usahawan desa diseru merebut peluang berkenaan dalam memaksimumkan keuntungan perniagaan mereka. 

Bagi melahirkan usahawan celik digital menerusi PPU, beliau berkata KKDW telah menjalinkan kerjasama dengan 26 rakan strategik terpilih yang berpengalaman dan terlibat secara langsung dalam bidang perniagaan digital.

“Agenda pendigitalan ini lebih mudah dilaksanakan sekiranya telah ada kesedaran dalam kalangan usahawan mengenai kepentingan pendigitalan tidak kira di bawah kategori mana mereka berada. 

“Saya harap usaha yang dilaksanakan ini akan berjaya membantu usahawan desa mendigitalkan perniagaan seterusnya mampu merealisasikan ekonomi digital di desa sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhannya selaras dengan Ekonomi MADANI,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan