Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Cukai dan duti yang lebih rendah ke atas jentera pembinaan, peningkatan akses kepada pembiayaan dan kadar faedah yang munasabah untuk peserta industri dan pembina adalah antara cadangan Belanjawan 2025 yang dikemukakan oleh Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM).
MBAM menjelaskan semua langkah itu penting untuk membantu firma pembinaan dan pembina dalam meningkatkan produktiviti dan memastikan projek disiapkan tepat pada masanya.
Selain itu, dalam senarai harapan belanjawan MBAM adalah gesaan agar kerajaan menangani kos yang tinggi bagi penggunaan teknologi selain meningkatkan akses kepada pendigitalan.
Kalangan peserta industri pembinaan turut menyarankan kerajaan supaya memperuntukkan lebih banyak dana untuk projek infrastruktur seperti pengangkutan awam, jalan raya, air dan teknologi digital, yang penting untuk mengekalkan momentum sektor itu.
Presiden MBAM Oliver HC Wee berkata kerajaan perlu meningkatkan perbelanjaan untuk infrastruktur awam kerana berdasarkan prestasi sebelum ini, projek tersebut menjana 30 hingga 40 peratus pekerjaan dalam industri.
“Apabila pasaran hartanah pulih terutama melibatkan sektor kediaman, lebih banyak projek infrastruktur penting yang akan menyokong ketersediaan pekerjaan,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata nilai projek infrastruktur yang diberikan setakat Ogos 2024 berjumlah RM127.36 bilion, dengan sektor swasta diberikan projek bernilai RM93.8 bilion dan sektor awam pula menerima RM33.5 bilion.
Bagaimanapun, kerajaan memerlukan pembiayaan yang mencukupi untuk pembangunan infrastruktur penting, dan kerajaan boleh mendapatkan dana pada kadar lebih murah berbanding individu, sekali gus meringankan beban negara, katanya.
MBAM juga mahu kerajaan memupuk lebih banyak perkongsian awam-swasta (PPP) untuk mempercepat pelaksanaan projek infrastruktur utama, katanya.
Wee berkata langkah itu akan mengurangkan pergantungan kepada dana awam di samping meningkatkan peluang pekerjaan dan aktiviti ekonomi.
“Menggalakkan model PPP akan membantu mempercepat projek infrastruktur, menjana pekerjaan dan merangsang pertumbuhan dalam industri dan sektor berkaitannya,” katanya.
Beliau yang menekankan kepentingan utiliti seperti loji jana kuasa hidro dan kemudahan rawatan air menggesa kerajaan supaya mengutamakan perkara tersebut dalam Belanjawan 2025, terutama bagi kawasan pinggir bandar dan pedalaman yang kurang mendapat perkhidmatan itu.
“Akses air bersih masih menjadi perhatian, khususnya di luar bandar. Kerajaan mesti memastikan seluruh masyarakat tanpa mengira lokasi mempunyai akses kepada air bersih,” katanya.
MBAM juga menggesa supaya akses pembiayaan untuk peserta industri ditambah baik, dengan kadar faedah yang sewajarnya daripada institusi kewangan, serta mengurangkan cukai dan duti ke atas jentera pembinaan untuk membantu meningkatkan produktiviti.
“Cukai dan duti yang lebih rendah ke atas jentera akan membantu peserta industri meningkatkan produktiviti dan memastikan pelaksanaan projek tepat pada masanya,” katanya.
Wee berkata penggunaan teknologi dalam sektor pembinaan adalah rendah disebabkan oleh kos yang tinggi.
Oleh yang demikian, beliau mencadangkan kerajaan supaya memperkenalkan langkah untuk menjadikan transformasi digital lebih mudah diakses.
“Penggunaan teknologi adalah penting untuk mengurangkan pergantungan pada tenaga kerja manual, meningkatkan kualiti projek, dan melonjakkan kecekapan keseluruhan. Kerajaan mesti bertindak untuk menjadikan transformasi ini boleh dilaksanakan pada kos yang berpatutan untuk semua peserta industri,” katanya.
Beliau berkata peningkatan penggunaan teknologi juga akan mengurangkan pergantungan industri kepada buruh asing dan mengurangkan jumlah pertukaran asing wang yang keluar dari negara ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial