AM

Subsidi Pendidikan Bertepatan Konsep Keadilan Sosial Diperjuangkan Kerajaan - GPMS

02/10/2024 11:00 AM

GEORGE TOWN, 2 Okt (Bernama) -- Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menyokong cadangan penghentian subsidi pendidikan bagi anak golongan kaya di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) demi masa depan B40.  

Naib Presidennya Muhammad Danial Alimin berkata GPMS melihat langkah itu sebagai satu inisiatif yang bertepatan dengan konsep keadilan sosial dan tanggungjawab moral diperjuangkan kerajaan seperti dibangkitkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

"Subsidi pendidikan tinggi yang diberikan secara menyeluruh selama ini perlu disasarkan dengan lebih baik agar anak-anak daripada golongan B40 dan sebahagian M40 dapat menikmati manfaat lebih adil.

"GPMS juga menyokong usaha Perdana Menteri yang menekankan kepentingan memastikan golongan rentan dan berpendapatan rendah terus menerima manfaat yang sewajarnya sementara golongan T20 perlu lebih bertanggungjawab dalam hal itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata GPMS turut menyokong kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang menegaskan penghentian subsidi pendidikan itu hanya akan dilaksanakan selepas mendapat kelulusan Kabinet.

Muhamad Danial berkata GPMS juga merasakan sekiranya cadangan penghentian subsidi kepada anak golongan kaya dapat dilaksanakan, penjimatan peruntukan subsidi boleh diagihkan dengan lebih fokus kepada pelajar yang benar-benar memerlukan terutamanya dalam kalangan mahasiswa keluarga B40.

Hal itu akan memperluas akses pendidikan tinggi kepada golongan berpendapatan rendah yang sering menghadapi cabaran kewangan dalam meneruskan pengajian mereka.

"Pengagihan semula subsidi itu juga boleh digunakan untuk meningkatkan kemudahan pembelajaran, biasiswa dan bantuan kewangan kepada mahasiswa yang layak, dengan cara itu mahasiswa B40 lebih berpeluang menamatkan pengajian tanpa beban kewangan … ," katanya.

Pendekatan itu juga dapat mengurangkan ketidakseimbangan dalam penggunaan dana awam serta memberikan ruang kepada kerajaan menyusun semula perbelanjaan pendidikan dengan lebih efisien dan menyasarkan sumber kepada golongan paling memerlukan.

Golongan kaya berkemampuan dari segi kewangan tidak lagi bergantung kepada subsidi yang seharusnya diutamakan kepada mereka berpendapatan rendah dan prinsip itu juga akan mendidik masyarakat tentang tanggungjawab sosial serta kepentingan memberikan laluan kepada golongan rentan dalam mendapatkan hak pendidikan.

"GPMS juga mengalu-alukan saranan Perdana Menteri supaya anak-anak golongan kaya tidak lagi mengambil kesempatan ke atas subsidi yang sepatutnya disalurkan kepada mereka lebih memerlukan. Tanggungjawab moral dan sosial golongan ini perlu difahami dengan mendalam dan kami percaya bahawa prinsip ini akan membina masyarakat lebih adil dan harmoni," katanya.

Beliau berkata GPMS berharap inisiatif-inisiatif itu akan membantu memperkukuh sistem pendidikan negara dan memastikan setiap golongan mendapat peluang pendidikan yang adil serta setara.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan