EKONOMI

MIDF Jangka Aktiviti Pengeluaran Malaysia Terus Berkembang Dalam Bulan Akan Datang

02/10/2024 01:06 PM

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Aktiviti pengeluaran Malaysia akan terus berkembang dalam beberapa bulan akan datang meskipun terdapat kebimbangan aktiviti kilang yang lebih perlahan, kata MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF).

Dalam Taklimat Ekonomi hari ini, MIDF berkata pertumbuhan itu disokong oleh pemulihan eksport yang berterusan, didorong oleh permintaan yang meningkat barangan perkilangan dan komoditi lain serta lonjakan berterusan perbelanjaan domestik.

"Kami mengekalkan unjuran Indeks Pengeluaran Perindustrian Malaysia (IPP) akan berkembang lebih kukuh pada 4.2 peratus berbanding 2023 pada 0.7 peratus," katanya.

Pada September 2024, aktiviti industri pembuatan Malaysia mengalami penguncupan untuk bulan keempat berturut-turut, disebabkan tiada peningkatan pertumbuhan dalam tempahan baharu dan pengeluaran yang agak sederhana.

Menurut MIDF, Indeks Pengurus Pembelian Global (PMI) S&P bagi sektor itu menunjukkan penurunan kepada 49.5 pada 24 September 2024, paras terendah sejak April 2024.

Pengeluar domestik juga melaporkan aktiviti pembelian yang berkurangan selain daripada permintaan yang lemah dan volum pengeluaran yang lebih rendah, katanya.

"Disebabkan kekurangan pesanan baharu, kedua-dua pembelian dan inventori barang siap juga berkurangan, manakala kadar inflasi input menurun pada bulan tersebut, jatuh di bawah paras purata dalam sejarahnya," kata bank pelaburan itu.

Selain itu, guna tenaga sektor pembuatan meningkat buat kali pertama sejak Mei 2024 apabila firma-firma melaporkan peningkatan kapasiti tenaga kerja dan perniagaan yang sangat memberangsangkan.

“Melihat ke hadapan, pengeluar menyatakan keyakinan berhati-hati terhadap permintaan masa depan tetapi menjangkakan peningkatan dalam tempoh 12 bulan akan datang.

"Bagaimanapun, kebimbangan mengenai prospek ekonomi global dan risiko pemulihan masih kekal," katanya.

MIDF berkata ia tidak mengejutkan apabila Indeks Pengurus Pembelian Malaysia juga merosot memandangkan bacaan yang lebih rendah turut berlaku di negara lain, menandakan aktiviti pembuatan global yang agak lemah bulan lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan