AM

GISBH: Trauma Berpanjangan, Kanak-kanak Diselamatkan Berisiko Alami PTSD - Pakar

02/10/2024 03:04 PM

Oleh Muhammad Faiz Baharin

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Kanak-kanak yang diseksa dengan dipijak dan ditekan dada, dipicit hidung hingga sukar bernafas dan dirotan bertalu-talu menjadi saksi bisu terhadap penganiayaan yang berlaku di rumah perlindungan amal yang dikaitkan dengan kumpulan GlSB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Lebih keji dan menjijikkan, ada antara 572 mangsa yang diselamatkan dalam Op Global susulan pembongkaran skandal GISBH termasuk kanak-kanak dan remaja, diliwat sejak usia muda serta dinafikan hak untuk mendapatkan pendidikan, mencorak masa depan mereka dengan bayangan gelap. 

Mengulas kes itu, pakar Psikologi Kanak-kanak Dr Noor Aishah Rosli berkata pengalaman traumatik yang berpanjangan sejak usia mentah meningkatkan risiko masalah kesihatan mental termasuk Gangguan Tekanan Selepas Trauma (PTSD) bagi kanak-kanak yang diselamatkan.

Pengarah Urusan klinik psikologi CPC International itu ketika ditemui Bernama turut menjelaskan bahawa tindakan mengasingkan kanak-kanak itu dari ‘dunia luar’ sejak kecil, ditambah dengan penderaan fizikal serta seksual, memburukkan lagi keadaan dan dikhuariti merencatkan perkembangan otak mereka.

“Situasi ini berpotensi menyebabkan ganguan perkembangan kognitif, menghalang pembentukan kemahiran hidup dan sosial sehingga anak-anak ini tiada keupayaan untuk berfikir secara kritikal dan menyelesaikan masalah.

"Difahamkan mereka juga tidak mengetahui kisah hidup sendiri kerana dipisahkan daripada nasab sejak kecil, seolah-olah tiada salasilah keluarga. Hal ini boleh membawa kepada kesan langsung lain seperti kemurungan, kerisauanhilang keyakinan dan rendah diri malah berhadapan kekeliruan identiti serta kepercayaan beragama,” katanya. 

Situasi itu katanya amat menyedihkan dan usaha menyelamatkan anak-anak itu perlu dilakukan secara menyeluruh dengan melibatkan bukan sahaja pakar psikologi tetapi juga pakar perubatan, kaunselor dan agamawan kerana aspek akidah mereka juga harus dipertimbangkan.

Dr Noor Aishah berkata bantuan profesional adalah kunci dalam 'melahirkan semula' anak-anak yang telah sekian lama 'terasing' dari kehidupan dunia nyata.

Sementara itu, Dr Rahima Dahlan @ Mohd Shafie berkata proses pemulihan kanak-kanak terlibat memerlukan usaha berterusan serta pendekatan yang teliti dan konsisten dengan sokongan semua pihak termasuk anggota masyarakat.

Pakar Perunding Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja Hospital Sultan Abdul Aziz Shah Universiti Putra Malaysia itu berkata proses berkenaan mungkin mengambil masa bertahun-tahun bergantung kepada tahap trauma dialami setiap mangsa.

"Kaedah rawatan terbaik antaranya ialah terapi tingkah laku kognitif (CBT), terapi bermain serta pemulihan melalui pendidikan formal dan sosialisasi.

"… juga ada keperluan untuk menyediakan sokongan keluarga angkat atau mentor supaya boleh memberi kasih sayang, sokongan emosi selain program integrasi sosial yang membolehkan kanak-kanak ini kembali membina keyakinan diri serta kemahiran sosial," katanya.

Bagi mencegah kes seumpamanya berulang, Dr Rahima mengesyorkan penguatkuasaan undang-undang lebih ketat terhadap isu eksploitasi kanak-kanak dan keperluan meningkatkan kesedaran masyarakat berkenaan hal terbabit.

"Perlindungan kanak-kanak di bawah undang-undang juga perlu diperluas, termasuk pemantauan terhadap institusi atau kumpulan yang tidak mematuhi undang-undang berkaitan hak kanak-kanak," katanya.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sebelum ini mengumumkan Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menilai tahap kesihatan mental kanak-kanak yang diselamatkan yang berisiko berdepan isu kesihatan mental akibat trauma dihadapi.

Beliau berkata walaupun kanak-kanak yang terjejas telah diberikan kaunseling, statistik dan status kesihatan mental mereka masih belum diperoleh.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek turut memaklumkan kementeriannya akan mengambil alih aspek pendidikan bagi kanak-kanak yang diselamatkan menerusi Op Global mulai semalam dengan menggunakan modul khas di tempat perlindungan mereka sekarang.

Beliau berkata kesemua kanak-kanak yang belum pernah menerima pendidikan formal sedang menjalani beberapa penilaian termasuk aspek 3M (membaca, menulis, mengira) dan psikososial.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan