AM

NUJM Sedia Jadi Perantara Isu Tunggakan Gaji Petugas Media

02/10/2024 08:35 PM

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) bersedia  memainkan peranan sebagai perantara dalam isu tunggakan gaji petugas media di The Malaysian Insight, The Vibes dan Getaran.

Presidennya Farah Marshita Abdul Patah berkata ia bagi memastikan hak wartawan yang terlibat dipertahankan dan segala tunggakan gaji dilunaskan dengan segera.

“NUJM sebagai badan tunggal yang bertanggungjawab merundingkan gaji dan syarat pekerjaan bagi wartawan di Malaysia, menegaskan bahawa isu tunggakan gaji ialah satu pelanggaran serius terhadap hak pekerja.

“Para wartawan ini telah bekerja dengan dedikasi tinggi, namun masih belum menerima bayaran yang sepatutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Farah Marshita berkata NUJM komited untuk melindungi hak wartawan di Malaysia dan memastikan mereka menerima pampasan setimpal atas kerja keras yang dilakukan selain pentingnya penubuhan kesatuan di setiap syarikat media.

Katanya kewujudan kesatuan bukan sahaja dapat melindungi hak pekerja tetapi juga memastikan gaji pekerja media di negara ini sentiasa progresif seiring dengan arus pembangunan.

Beliau turut menyeru Petra Group agar segera melunaskan semua tunggakan gaji dan menunaikan tanggungjawab terhadap wartawan yang terlibat.

“Keadilan untuk pekerja media mesti ditegakkan dan tiada sebarang bentuk pengabaian boleh diterima,” katanya.

Semalam, NUJM dan Gerakan Media Merdeka (GERAMM) menggesa majikan mewakili media berkenaan segera melunaskan tunggakan gaji sekumpulan wartawan bagi membolehkan mereka menentukan hala tuju masa depan masing-masing.

Gesaan sama turut dibuat Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil hari ini yang menyifatkan tindakan tidak membayar gaji pengamal media selama beberapa bulan sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan