AM

Banjir Baling: PBAPP Aktifkan Pelan Tindak Balas Kecemasan

02/10/2024 09:19 PM

GEORGE TOWN, 2 Okt (Bernama) -- Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mengaktifkan pelan tindak balas kecemasan (ERP) bagi Sungai Muda untuk mengelakkan gangguan bekalan air tidak berjadual di negeri ini susulan banjir di Daerah Baling, Kedah.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP Datuk K Pathmanathan berkata banjir berkenaan telah menghanyutkan serpihan dan sisa ke dalam Sungai Muda menyebabkan air sungai menjadi keruh daripada biasa di muka sauk Lahar Tiang milik PBAPP di Seberang Perai. 

Beliau berkata pada 5 petang semalam, tahap kekeruhan air sungai mencatatkan 400 NTU (unit kekeruhan nefelometrik) di Lahar Tiang, melepasi bacaan biasa iaitu 200 NTU.

“Tindakan segera telah dibuat dengan melepaskan air mentah 72 JLH (juta liter sehari) hingga 240 JLH dari Empangan Mengkuang Diperbesarkan (EMD) bertujuan bagi ‘mencairkan’ kekeruhan air mentah di lokasi kemasukan ke Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua (kolam pengimbang),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pathmanathan berkata Sungai Muda merupakan sumber air mentah utama bagi Pulau Pinang dan PBAPP mengepam air sungai itu setiap hari ke LRA Sungai Dua yang merupakan loji rawatan air terbesar dan terpenting di negeri ini.

Setakat 10 pagi tadi, tahap kekeruhan air Sungai Muda di muka sauk Lahar Tiang mencecah 700 NTU dan setakat tempoh 24 jam banjir di Baling, tiada gangguan bekalan air berjadual dilaporkan, tambah beliau.

“Namun begitu, PBAPP akan terus melaksanakan ERP untuk 48 jam akan datang sebagai langkah keselamatan sekiranya berlaku lonjakan mendadak yang tidak diduga dalam kekeruhan air mentah dari Sungai Muda,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Pathmanathan memaklumkan 118,093 pengguna di sebahagian besar kawasan di Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS) akan mengalami gangguan bekalan air berjadual bermula 10 malam Jumaat ini hingga 10 malam Sabtu, 5 Okt.

Beliau menyatakan bahawa sebanyak 41 kawasan terlibat di Daerah SPT manakala SPS melibatkan semua kawasan kecuali beberapa kawasan yang akan mengalami tekanan air rendah.

Kawasan yang akan mengalami tekanan air rendah ialah di Bukit Panchor, Jalan Permatang Tok Mahat, Jalan Transkrian, Jalan Sungai Acheh, Sungai Bakau,Jalan Sungai Kechil, Jalan Sempadan, Jalan Sungai Udang.

“Gangguan ini disebabkan kerja-kerja penggantian bahagian saluran paip utama di Permatang Pauh yang telah rosak oleh kontraktor syarikat utiliti lain.

“PBAPP juga akan menjalankan tambahan tiga kerja penyelenggaraan untuk mengelakkan satu lagi gangguan air berjadual iaitu penggantian injap 1200mm berhampiran Restoran Sri Tambang, Jalan Pengkalan Tambang, di Daerah Seberang Perai Utara (SPU), penggantian injap 1200mm di Jalan Kubang Semang, SPT dan penggantian panel suis 11kV di Stesen Pam Bukit Minyak,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan pengguna air di kawasan terlibat supaya menyimpan air untuk kegunaan selama 24 jam dan memberitahu PBAPP akan menggerakkan lori tangki air dan tangki air statik di lokasi strategik di SPT dan SPS ketika tempoh gangguan ini. 

“PBAPP akan berusaha untuk menyelesaikan semua kerja berkaitan air dan kerja normalisasi bekalan air seperti yang dirancang dan dijadualkan. Kami juga akan menyediakan kemas kini berkala mengenai kemajuan di tapak kerja melalui halaman Facebook kami,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan