AM

MDDM Dapat Aduan Mengenai Tiga Individu Guna Gelaran 'Tan Sri' Palsu

03/10/2024 05:15 PM

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Majlis Datuk Dato' Malaysia (MDDM) baru-baru ini telah menerima aduan bahawa terdapat tiga individu yang menggunakan gelaran “Tan Sri” palsu.

Setiausaha Agung MDDM Datuk Samson David Maman berkata pihaknya menerima aduan berkaitan dua lelaki dan seorang wanita itu, ketiga-tiganya rakyat tempatan, menerusi e-mel, panggilan telefon, pesanan ringkas dan juga gambar.

Bercakap pada sidang media selepas menghadiri Forum Akta 787- Memelihara Kemuliaan Anugerah Kebesaran di sini hari ini beliau berkata, pihaknya menerima purata 30 kes setiap bulan berkaitan penggunaan gelaran kehormat palsu seperti gelaran Datuk, Datuk Seri dan Tan Sri.

“Hampir setiap hari, saya mendapat laporan daripada seseorang yang memohon bantuan mengenai perkara ini… jadi kami bimbing mereka mengenai apa yang perlu dilakukan, dan satu daripadanya ialah membuat laporan polis.

“Jika anda tidak mahu buat laporan polis, maka jangan lapor kepada kami, kerana kami tidak boleh membawanya (ambil tindakan), tetapi kami akan menyokong anda apabila anda membuat laporan itu,” katanya.

Sementara itu pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai yang juga bekas naib presiden MDDM, turut menggalakkan orang ramai membuat aduan rasmi kepada polis, supaua pihak berkuasa boleh menjalankan siasatan berhubung perkara itu.

“Kami harap polis dan Jabatan Peguam Negara (AGC) dapat memberi keutamaan bagi mempercepatkan siasatan kes-kes sebegini untuk dijadikan pengajaran kepada mereka yang bersalah, kerana anugerah ini dianugerahkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan dan raja-raja. Kita perlu melindungi (anugerah) ini dan kita tidak mahu sesetengah orang menyalah guna atau menipu," katanya.

Sementara itu Presiden MDDM Datuk Awalan Abdul Aziz dalam ucapannya berkata MDDM telah mengemukakan Kertas Cadangan penambahbaikan dan pindaan Akta 787 kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi) dan pihak Peguam Negara, bagi memperkasakan aspek keberkesanan dan penguatkuasaan akta ini.

"Antara cadangannya ialah meningkatkan denda dan hukuman bagi kesalahan-kesalahan tertentu di bawah akta ini sebagai penghalang kepada penyalahgunaan darjah kebesaran dan gelaran. Ini juga akan memungkinkan kes-kes pendakwaan dibawa ke mahkamah yang lebih tinggi," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan