AM

Kelantan Tawar RM10,000 Untuk Pertandingan Video TikTok Perpaduan Nasional

03/10/2024 05:46 PM

KOTA BHARU, 3 Okt (Bernama) -- Kerajaan Kelantan menganjurkan pertandingan Video TikTok Perpaduan Nasional bertemakan 'Kelantan Model Perpaduan' yang menawarkan hadiah utama wang tunai bernilai RM10,000 untuk tempat pertama, tempat kedua RM5,000 dan tempat ketiga RM3,000.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan Zamakhshari Muhamad berkata pertandingan itu telah bermula pada 31 Ogos lepas sehingga 12 Okt ini.

Beliau berkata pertandingan ini dianjurkan bersempena Karnival Perpaduan Nasional, Kelantan Model Perpaduan yang akan diadakan pada 19 Okt ini.

"Program ini bakal dirasmikan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud sekali dengan penyampaian hadiah kepada pemenang.

"Untuk menyertai pertandingan video Kelantan Model Perpaduan itu, peserta perlu memuat naik video berdurasi tiga hingga lima minit dengan memaparkan elemen-elemen perpaduan dan keharmonian di Kelantan seperti elemen bahasa, kebudayaan, makanan, keharmonian beragama dan elemen kejiranan rentas kaum," katanya dalam kenyataan hari ini.

Zamakhshari berkata peserta juga perlu memuat naik ke akaun TikTok masing-masing dengan meletakkan hashtag #PerpaduanKelantan2024, #AmboOreKlate dan #KelantanModelPerpaduan.

Beliau berkata orang ramai khususnya belia yang berminat menyertai pertandingan ini perlu menghantar video pendek kreatif berkaitan keunikan dan kepelbagaian perpaduan di Kelantan yang menjadi tarikan dan warisan turun-temurun di Kelantan melalui platform TikTok.

"Antara kriteria yang menjadi penilaian juri adalah berdasarkan jumlah perkongsian (share) di TikTok, kualiti penghasilan video, kreativiti dan keaslian serta penyampaian mesej perpaduan Kelantan, di samping video dihasilkan mestilah asli dan tidak melanggar sebarang hak cipta (copyright)," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan