BERITA TERGEMPAR   PM Anwar expresses condolences to the family of Egyptian Islamic movement activist Youssef Nada who passed away today | 
 AM

Haramkan Tiktok Bagi 16 Tahun Ke Bawah Jika Masih Gagal Pastikan Kandungan Selamat

20/12/2024 05:51 PM

KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) -- Seorang Ahli Dewan Negara mencadangkan kerajaan supaya mempertimbangkan pengharaman penggunaan TikTok kepada mereka yang berumur 16 tahun ke bawah sekiranya platform itu masih gagal memastikan kandungan yang selamat.

Senator Datuk C. Sivaraj berkata isu kandungan tidak bermoral yang semakin berleluasa di platform TikTok merupakan satu ancaman yang tidak boleh dipandang ringan.

"TikTok dan platform asing lain lebih mementingkan keuntungan daripada menjaga nilai moral dan keselamatan pengguna, terutamanya anak muda. Algoritma penapisan kandungan mereka gagal sepenuhnya. 

"Jika masalah ini berlarutan, mengharamkan TikTok sepenuhnya adalah satu langkah yang wajar demi kebaikan negara. Kita tidak boleh tunduk kepada platform yang tidak menghormati nilai dan prinsip kita," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Dalam tempoh 2022 hingga 1 Dis lepas, sejumlah 3,571 laman web berunsur lucah telah disekat dan sebanyak 1,947 kandungan lucah di media sosial diturunkan, dengan 71.2 peratus daripada kandungan berkenaan melibatkan eksploitasi seksual kanak-kanak.

Sivaraj berkata walaupun kerajaan sudah menetapkan undang-undang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), platform TikTok tetap menunjukkan kelemahan ketara dan seharusnya tidak membiarkan kepentingan asing merosakkan akhlak anak-anak.

Justeru, katanya kerajaan harus bertindak tegas dan melihat isu berkenaan dengan lebih jauh termasuk mempertimbangkan pembangunan platform media sosial tempatan yang lebih selamat dan terkawal.

"Platform ini bukan sahaja dapat melindungi anak-anak kita daripada pengaruh buruk, tetapi juga memberi peluang kepada usahawan dan peniaga tempatan untuk memasarkan produk mereka secara berkesan.

"Dengan adanya platform digital kita sendiri, kita dapat memastikan data rakyat dilindungi dan kawalan berada di tangan kita," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan