PUTRAJAYA, 3 Okt (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Selangor dan Gamuda Land (Discovery Wetlands Sdn Bhd) (DWSB) hari ini memeterai perjanjian bagi mengembangkan lagi potensi Paya Indah Wetlands (PIW) di Dengkil, Selangor sebagai destinasi ekopelancongan.
Perjanjian tiga pihak melibatkan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES); Kerajaan Negeri Selangor dan Gamuda Land itu disaksikan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Perjanjian berkenaan ditandatangani Ketua Setiausaha NRES Datuk Dr Ching Thoo Kim, Timbalan Setiausaha (Pembangunan) Selangor Datuk Johary Anuar dan Pengarah Eksekutif Gamuda Land Datuk Abdul Sahak Safi di NRES di sini hari ini.
Dalam sidang media selepas majlis itu, Nik Nazmi berkata perjanjian berkenaan akan berkuat kuasa hingga 31 Julai 2037 dengan DWSB mengambil alih aspek operasi dan pengurusan PIW.
“Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia memfokus kepada program konservasi hidupan liar manakala kerajaan negeri Selangor kekal sebagai pemilik tanah PIW,” katanya.
Beliau berkata Jawatankuasa Kerja Bersama yang akan dipengerusikan Ketua Pengarah Jabatan PERHILITAN akan ditubuhkan bagi memantau pelaksanaan dan pematuhan kerjasama strategik itu.
“Perkara melibatkan keputusan dasar akan diputuskan oleh Jawatankuasa Induk Tanah Rizab Paya Indah Wetlands yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha NRES,” katanya.
Sementara itu, Amirudin berkata kerjasama strategik berkenaan membuka lembaran baharu kepada orang ramai melihat eleman baharu dalam ekopelancongan di PIW.
“Saya percaya dengan kolaborasi ini akan menjamin kelestarian terutama dalam pengurusan hutan paya bakau … ia juga menjadi satu daripada tempat pembelajaran secara langsung kepada pelajar, mahasiswa dan sebagainya,” katanya.
PIW mempunyai ekosistem tanah lembap yang terdiri tasik air tawar dan hutan paya gambut.
Berkeluasan 450.76 hektar, PIW diwartakan sebagai tapak perlindungan tanah lembap di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara pada 17 Feb 1998 oleh Selangor.
Kedudukan yang strategik dikelilingi bandar Dengkil, Cyberjaya dan Putrajaya menjadikannya destinasi utama ekopelancongan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial