AM

ZPP Sahkan Tidak Pernah Terima Bayaran Zakat GISBH

03/10/2024 10:31 PM

GEORGE TOWN,  3 Okt (Bernama) -- Zakat Pulau Pinang (ZPP) mengesahkan tidak pernah menerima sebarang bayaran zakat hasil perniagaan syarikat-syarikat dipercayai milik GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) sejak 10 tahun lepas.

Difahamkan perniagaan berkenaan membabitkan kedai runcit, kedai makan, bakeri dan jualan ayam segar di beberapa premis di Sungai Ara, Lahar Yooi, Perda dan Nibong Tebal.

Pengerusi ZPP Datuk Mohamad Abdul Hamid yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP) berkata berdasarkan maklumat, syarikat-syarikat dipercayai milik GISBH itu juga tidak pernah memohon sebarang pensijilan halal untuk perniagaan mereka.

"Apa yang diberitahu kepada saya, dari segi pembayaran zakat kita tidak pernah menerima apa-apa daripada mereka, dari segi pensijilan halal pula mereka tidak pernah memohon apa-apa untuk perniagaan mereka," kata Mohamad yang juga Timbalan Ketua Menteri I kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Daerah Timur Laut dan Barat Daya Penggal 2024-2028 yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Pada 21 Sept lepas, pihak berkuasa menyerbu empat premis termasuk rumah jagaan yang disyaki berkaitan dengan GISBH di Pulau Pinang.

Dalam serbuan itu, sebanyak enam buku atau kitab yang disyaki berkaitan dengan gerakan Al-Arqam yang sudah diharamkan, dirampas Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dan siasatan lanjut mengenainya masih dijalankan.

Beliau berkata 200 kanak-kanak dan remaja dipercayai anak ahli GISBH dari Selangor, Negeri Sembilan, Perak dan Pulau Pinang telah diselamatkan dan kini ditempatkan di Kompleks Penyayang Sinar Kasih di Nibong Tebal, dekat sini, sejak 1 Okt lepas.

"Anak-anak yang diselamatkan itu berusia antara tiga hingga 19 tahun, kita telah wujudkan satu pasukan khas untuk menyelia dan menjaga mereka, kesemua mereka ketika ini dalam proses pembelajaran di situ yang dikendalikan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang.

"Malah mereka turut diberikan bimbingan psikologi untuk menaikkan semangat mereka dan kelas bimbingan agama," katanya.

Mengulas mengenai fatwa terhadap ajaran dalam GISBH di Pulau Pinang, Mohamad berkata Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang akan bersidang untuk menyelaraskan dan memutuskan perkara tersebut.

"Di peringkat Pulau Pinang, fatwa berhubung GISBH belum diputuskan lagi, tunggu pengumuman daripada Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang," katanya.

Sebelum ini, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis memutuskan kepercayaan dan ajaran dalam GISBH mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah.

Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dilaporkan berkata ajaran yang dibawa juga adalah kesinambungan ajaran Al-Arqam yang telah difatwakan sesat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan