KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Pengerusi Wetlands International Malaysia Datuk Keizrul Abdullah menyifatkan sumbangan idea dalam pembinaan projek Terowong Jalan Raya Dan Pengurusan Air Banjir, atau Terowong SMART, sebagai ‘hadiah’ terbesar beliau buat negara sepanjang hampir 50 tahun berkecimpung dalam dunia kejuruteraan.
Keizrul, 73, dinobatkan Tokoh Kejuruteraan Negara 2024 pada Majlis Makan Malam Penganugerahan dan Penghargaan Lembaga Jurutera Malaysia sebagai menghargai sumbangan besar beliau dalam bidang itu dengan anugerah disampaikan oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Bercakap kepada pemberita selepas menerima anugerah itu di sini malam ini, Keizrul menzahirkan kesyukuran atas penghargaan yang diterima melalui anugerah berprestij terhadap khidmat beliau sebagai jurutera sejak berkecimpung dalam bidang tersebut sekitar tahun 1970-an.
“Sepanjang karier saya sebagai jurutera, memang kita punya cita-cita untuk buat projek mega dan saya amat bernasib baik kerana dapat ‘hadiahkan’ negara projek Terowong SMART dan sehingga kini, tidak ada negara lain buat projek yang sama,” katanya.
Mengimbas kembali saat cetusan idea membina Terowong SMART kepada Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi Perdana Menteri ketika itu, beliau berkata ia susulan kekerapan ibu kota dilanda banjir.
“Bagaimanapun, saya telah ditanya oleh Tun Dr Mahathir berapa kali terowong ini akan digunakan untuk banjir, disebabkan itulah timbul idea untuk bina terowong yang juga boleh digunakan sebagai jalan raya jika tidak banjir,” katanya.
Sementara itu, Anugerah Tokoh Muda Kejuruteraan Negara 2024 diberikan kepada Profesor Madya Dr Hassimi Abu Hasan, 40, atas sumbangan beliau dalam bidang penyelidikan dan kepada komuniti.
Ketua Pusat Penyelidikan Teknologi Proses Mampan (CESPRO) Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina Universiti Kebangsaan Malaysia itu kini aktif dalam bidang penyelidikan rawatan air sisa menggunakan proses biologi serta pemulihan sumber daripada air sisa industri.
Antara sumbangan utama beliau ialah terlibat sebagai ketua penyelidik pembinaan loji rawatan air berskala kecil untuk komuniti Orang Asli di Ulu Chembong, Negeri Sembilan pada 2018.
Pada majlis itu, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) diumumkan sebagai antara 12 penerima Penghargaan Media.
Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin, yang menerima anugerah itu, berkata penghargaan yang diberikan kepada agensi berita berkenaan menunjukkan bahawa Lembaga Jurutera Malaysia mengakui dan menghargai peranan media dalam bidang kejuruteraan negara.
“Seperti yang disampaikan oleh Menteri sebentar tadi, tanpa media inovasi yang diperkenal kekal inovasi, orang tidak tahu… Alhamdulillah, mereka iktiraf peranan media dan beri penghargaan ini kepada semua media utama.
“Hasrat Menteri untuk adakan anugerah penghargaan secara besar-besaran juga adalah baik sebagai mengakui sumbangan wartawan termasuk wartawan muda dalam bidang kejuruteraan memandangkan bidang ini bukan mudah dan banyak terma… bila ada pengiktirafan, ia menjadi tugasan kepada wartawan muda untuk belajar mendalami bidang lain bukan sekadar umum, politik, sukan dan hiburan,” katanya.
Terdahulu, Nanta dalam ucapan beliau berkata tanpa pengamal media yang membantu menyalurkan maklumat tepat kepada masyarakat, sehebat manapun inovasi dalam kejuruteraan, ia hanya akan kekal sebagai inovasi.
Beliau berkata majlis malam ini juga adalah bagi menghargai dedikasi dan profesionalisme para pengamal media selain berterima kasih atas kerja keras serta sokongan tidak berbelah bahagi mereka dalam mendidik dan menyebarkan maklumat kepada seluruh masyarakat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial