Daripada Mohd Haikal Mohd Isa
ISLAMABAD, 4 Okt (Bernama) -- Lawatan negara tiga hari Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Pakistan berjaya meraih potensi perdagangan bernilai RM2.65 bilion, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Beliau berkata Pakistan turut memberikan komitmen untuk meningkatkan import minyak kelapa sawit dari Malaysia dan juga import produk berasaskan kayu, baja, petrokimia serta oleokimia.
“Lawatan (negara oleh Perdana Menteri ke Pakistan) turut menghasilkan komitmen pelaburan bernilai RM100 juta dalam sektor halal yang akan dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun,” katanya semasa sidang media pada akhir lawatan tiga hari Perdana Menteri hari ini.
Beliau berkata kedua-dua negara juga akan mengadakan rundingan pada bulan depan mengenai Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Malaysia-Pakistan (MPCEPA).
Tengku Zafrul berkata kedua negara juga dilihat mempunyai potensi kerjasama dalam sektor seperti makanan, pertanian, halal, sektor IT serta rantaian bekalan.
“Malaysia komited untuk memantapkan lagi kerjasama ekonomi yang lebih kukuh bersama Pakistan dalam bidang yang memberi manfaat bersama. Dengan kedudukan strategik Malaysia di Asia Tenggara, serta pelbagai persamaan antara kedua-dua negara, Malaysia adalah pintu masuk ideal bagi Pakistan ke pasaran lain di Asean,” kata beliau.
Perjanjian MPCEPA sebenarnya telah lama berkuat kuasa iaitu sejak Januari 2008 dan kajian semula mengenainya dijangka selesai pada 2026, katanya.
Pelancaran rundingan kajian semula MPCEPA adalah supaya lebih banyak manfaat boleh diraih oleh Malaysia dan Pakistan melalui perjanjian perdagangan bebas (FTA) itu.
Tengku Zafrul turut berkata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan membuka pejabat Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di Karachi pada 15 Oktober ini.
Selepas mesyuarat dua hala antara Malaysia dan Pakistan di Kediaman Rasmi Perdana Menteri Pakistan semalam, MATRADE juga telah menandatangan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pihak Berkuasa Pembangunan Perdagangan Pakistan (TDAP), disaksikan Anwar.
Sempena lawatan negara Perdana Menteri ke Pakistan, agensi di bawah MITI juga telah menganjurkan Dialog Perniagaan Peringkat Tertinggi Malaysia-Pakistan yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri dan rakan sejawatannya dari Pakistan, Shehbaz Sharif.
Dialog perniagaan itu telah menarik penyertaan 67 syarikat dan tujuh persatuan perniagaan dari Pakistan serta Malaysia.
Di kalangan negara-negara Asia Selatan, Pakistan merupakan rakan dagang ketiga terbesar dan destinasi eksport utama Malaysia serta sumber import kedua terbesar pada tahun 2023.
Daripada Januari sehingga Ogos 2024, jumlah dagangan Malaysia-Pakistan mencatatkan peningkatan sebanyak 54.8 peratus, mencapai RM5.68 bilion (USD1.21 bilion).
Sementara itu, daripada segi pelaburan, sebanyak 27 projek pembuatan dengan penyertaan syarikat Pakistan bernilai RM304.14 juta (USD81.89 juta) telah dilaksanakan, yang telah mewujudkan 1,382 peluang pekerjaan dalam industri seperti kertas, percetakan & penerbitan, pemprosesan makanan, tekstil dan produk kimia & kimia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial