KUALA NERUS, 4 Okt (Bernama) -- Institusi pengajian tinggi (IPT) diminta membuat persediaan sewajarnya bagi berdepan bencana banjir susulan fenomena Monsun Timur Laut yang dijangka bermula bulan depan.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata berdasarkan pengalaman lampau, beliau yakin IPT di kawasan sering terjejas banjir seperti di pantai timur mempunyai keupayaan terbaik untuk berbuat demikian.
“Saya yakin di peringkat universiti kita di Terengganu misalnya, sudah biasa untuk buat persiapan awal termasuk dari aspek kaedah pembelajaran hibrid iaitu bagi pelajar yang hadapi masalah, boleh gunakan pendekatan yang akan diputuskan oleh IPT seperti kelas secara dalam talian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program In Person With Doc Zam di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu, di sini malam tadi.
Zambry berkata pihaknya menyerahkan kepada pengurusan IPT untuk membuat pertimbangan bagi mewujudkan pusat pemindahan sementara (PPS) khas kepada penuntut masing-masing, bagi mengelakkan mereka daripada terpaksa meredah banjir pada waktu yang tidak dijangka seperti awal pagi.
“Bagaimanapun kali ini dari segi taburan hujan yang lebat tidak dijangkakan seperti sebelum-sebelum ini. Apa-apa pun harap pihak universiti akan ambil langkah sewajarnya,” katanya.
Semalam Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) Ambun Dindang memaklumkan MTL dijangka bermula pada November depan dan berterusan sehingga Mac 2025, dengan ramalan empat hingga enam episod hujan lebat berterusan sepanjang tempoh itu.
Ambun berkata hujan lebat diramal melanda Kelantan, Terengganu dan Pahang antara November hingga Disember depan.
Sementara itu ditanya sama ada penuntut yang menjadi mangsa banjir baru-baru ini akan mendapat kelonggaran mendaftar lewat bagi memulakan semester pengajian baharu, Zambry berkata mereka yang terlibat diminta untuk berhubung dengan IPT masing-masing.
“Itu kita akan ikut kes satu persatu. Kalau ada kesulitan bagi mereka yang berada di kawasan terkena banjir boleh maklumkan kepada kita. Universiti akan jadi lebih fleksibel dan akan ambil tindakan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial