SUKAN

LTdL 2024: Berbaki Perlumbaan, Amirul Fakhruddin Enggan Kibar 'Bendera Putih'

04/10/2024 04:03 PM

KULAI, 4 Okt (Bernama) -- Pelumba pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) Nur Amirul Fakhruddin Mazuki belum sedia mengibarkan 'bendera putih' dalam memperaga kayuhan positif pada baki saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 yang berakhir Ahad ini.

Pelumba berusia 32 tahun itu berkata dia berharap dapat menggunakan pengalaman berlumba di Miri, Sarawak sebagai tonik tambahan menamatkan saingan perlumbaan dengan berada di kelompok paling hadapan.

Dua perlumbaan terakhir, melibatkan Miri ke Bintulu bagi peringkat ketujuh esok, serta loop Bintulu bagi peringkat kelapan pada Ahad ini.

"Secara peribadi, saya rasa perlumbaan kali ini agak berbeza dengan adanya pelumba pesaing cukup laju pada setiap peringkat yang diharungi. Namun, kita masih ada baki dua peringkat dan TSG akan terus cari peluang serta tidak akan putus asa.

"Mengenai perlumbaan di Miri, saya pernah berlumba sekali ketika itu, tetapi bukanlah siri jelajah tetapi hanyalah penganjuran tempatan," kata pemenang pingat emas Sukan SEA Kemboja 2023 itu.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan penyingkiran pakar pecut Mohd Harrif Saleh selepas tidak berjaya menamatkan perlumbaan dalam had masa ditetapkan (OTL) pada peringkat keempat sama sekali tidak melunturkan semangat TSG bagi meneruskan perlumbaan.

"Saya rasa (ketiadaan Harrif) adalah adat perlumbaan. Ada hari pasukan akan bagus dan ada ketika tidak," katanya.

Pada perlumbaan peringkat keenam di Batu Pahat ke Kulai sejauh 123.4 kilometer (km) hari ini, Amirul Fakhruddin berjaya menamatkan saingan di kedudukan ke-30 untuk muncul selaku pelumba kedua terbaik negara selepas Ahmad Syazrin Awang Ilah yang mewakili Malaysia Pro Cycling (MPC).

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan