POLITIK

PKR Kelantan Sasar Capai 100,000 Ahli Tahun Ini

04/10/2024 04:15 PM

KOTA BHARU, 4 Okt (Bernama) -- Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kelantan menyasarkan tambahan ahlinya kepada 100,000 orang menjelang hujung tahun ini sebagai persediaan awal menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kelantan Datuk Seri Mohd Suparadi Mohd Noor berkata setakat ini parti berkenaan memiliki 68,000 ahli membabitkan 14 cabang PKR di negeri itu.

"Gerak kerja secara strategi kita mulakan dari sekarang dalam usaha pengukuhan parti di negeri ini untuk menghadapi PRU akan datang.

"Selain menambah keahlian, kita juga mengenal pasti Dewan Undangan Negeri (DUN) yang perlu diberi tumpuan dan juga calon berpotensi untuk diketengahkan," katanya kepada Bernama di Konvensyen Keadilan Menang Siri PRU16 (KEMAS16) dan Pemerkasaan Organisasi Parti 25 Tahun (POP 25) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Suparadi berkata PKR yang merupakan salah satu parti komponen Kerajaan Perpaduan dilihat mempunyai kemampuan lebih baik dalam memberi tawaran tertentu kepada rakyat.

"Rakyat Kelantan ketika ini sedang menganalisa parti-parti yang mampu menawarkan perkhidmatan lebih baik kepada mereka, sekali gus memberi ruang besar kepada PKR mengukuhkan kedudukan.

"Malah dapat dilihat dengan jelas bagaimana pucuk pimpinan PKR yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyantuni keperluan mereka ketika ini melalui pelbagai bantuan," katanya.

Beliau berkata PKR Kelantan akan bertanding sekurang-kurangnya 14 daripada 45 kerusi DUN pada PRU16.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan