KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan menganjurkan Persidangan Koperasi Komuniti India (PKKI) 2024 di Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur pada 13 Okt ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R Ramanan berkata objektif utama persidangan tersebut adalah untuk meningkatkan pengetahuan koperator-koperator komuniti India berkaitan Dasar Koperasi Malaysia 2023 (DaKoM 2030).
Beliau berkata persidangan yang akan dihadiri 800 peserta terdiri daripada koperator-koperator komuniti India itu juga bagi mengenal pasti isu tatakelola dan amalan terbaik dalam pengurusan koperasi masyarakat India.
Ramanan berkata antara pengisian persidangan itu termasuk sesi pembentangan isu, cabaran dan peningkatan daya saing koperasi komuniti India, forum bertajuk Transformasi Ekonomi Koperasi Komuniti India: Prospek dan Wawasan dan sesi dialog bersama Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
“Saya berharap PKKI ini bukan sahaja membantu individu tetapi juga menyumbang kepada pembangunan masyarakat India khususnya ke arah yang lebih mampan dan berdaya saing.
“PKKI 2024 kelak dapat dijadikan sebagai satu platform kepada koperasi komuniti India untuk mendapat pendedahan berkenaan inisiatif dan insentif disediakan oleh KUSKOP melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan agensi-agensi lain di bawah kementerian dalam memperkasa gerakan koperasi negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas pelancaran logo persidangan PKKI 2024 di sini hari ini.
Menurut Ramanan, PKKI 2024 juga menyediakan peluang besar kepada anggota koperasi untuk bertukar pendapat dan menjalinkan kerjasama bagi meningkatkan aktiviti perniagaan dan menambah baik pengurusan koperasi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial